KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa ditemui dalam siasatan terhadap proses pemberimilikan kolam takungan banjir kepada pemaju bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur di ibu negara.
Perkara itu dimaklumkan dalam sesi taklimat khas SPRM kepada Pengurusan Tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) yang diketuai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, menurut JWP, siasatan tersebut dimulakan sejak 2021 susulan laporan media dan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang mendapati, enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) untuk pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.
Katanya, SPRM memaklumkan, siasatan dijalankan secara menyeluruh melibatkan semakan dokumen, rakaman keterangan saksi termasuk pihak pemaju, selain lawatan ke tapak kolam takungan banjir terbabit.
“Hasil siasatan turut mendapati tiada pencerobohan sempadan dilakukan oleh pemaju berdasarkan pengesahan juruukur yang dilantik.
“Bagaimanapun, SPRM mengingatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya semua kelulusan pembangunan pada masa hadapan mengambil kira risiko serta fungsi kolam takungan banjir melalui proses penilaian lebih ketat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hannah berkata, SPRM mengambil maklum tindakan JWP menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir bagi mengelakkan isu sama berulang.
Menurutnya lagi, SPRM mendapati perizaban kolam takungan banjir berkenaan telah diluluskan sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan ketika pemberimilikan tanah dibuat.
Susulan itu, katanya, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 9 Oktober 2015 bersetuju membatalkan kelulusan perizaban tersebut bagi membolehkan pemberimilikan tanah seluas 80 ekar kepada pemaju untuk pembangunan bercampur dengan premium berjumlah RM214 juta.
“Terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan ini diambil,” tambahnya.
Beliau turut menjelaskan, SPRM memuji tindakan DBKL yang menghentikan serta-merta semua kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan pembangunan baharu di kawasan kolam takungan banjir.
JWP menegaskan, komitmennya untuk terus memelihara kawasan lapang dan kolam takungan banjir demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur selain mempercepatkan pewartaan baki 30 peratus kawasan berkenaan yang telah diluluskan.
Tambahnya, sesi konsultasi bersama SPRM itu merupakan julung kali diadakan dan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan diteruskan bagi memperkukuh tadbir urus yang baik demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette
















