KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak memfailkan permohonan untuk mengemukakan bukti baharu bagi menyokong rayuannya di Mahkamah Rayuan berkaitan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Bekas Perdana Menteri memfailkan permohonan itu menerusi Tetuan Shafee & Co. minggu lalu mengikut Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 (CoJA).
Ia merujuk kepada maklumat yang diperoleh selepas sesuatu perbicaraan selesai namun ia perlu memenuhi beberapa syarat ketat sebelum boleh dirujuk dalam rayuan.
Menurut laporan sebuah portal berita, bukti baharu itu adalah berkaitan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low serta bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo.
Jho Low tidak dipanggil pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di Mahkamah Tinggi manakala Jasmine Loo telah dipanggil sebagai saksi ketika perbicaraan berlangsung.
Mahkamah Rayuan belum menetapkan tarikh pendengaran rayuan dan masih menunggu alasan penghakiman bertulis disiapkan oleh hakim bicara Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Pada 26 Disember tahun lalu, Collin (kini hakim Mahkamah Persekutuan) mendapati Najib bersalah atas 25 pertuduhan iaitu empat pertuduhan salah guna kedudukan dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB.
Bekas Perdana Menteri dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.387 bilion bagi kesemua pertuduhan.
Mahkamah Tinggi memerintahkan hukuman penjara bermula pada 2028 selepas Najib menyelesaikan hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC Internationalnya.
Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan memendekkan hukuman dalam kes SRC dengan mengurangkan separuh tempoh penjara dan menurunkan dendanya kepada RM50 juta. Hukuman itu dijadualkan berakhir pada 23 Ogos 2028. – MalaysiaGazette
















