KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) menerusi Jawatankuasa Kerja Perkembangan Akademik dan Intelektual (ADIN), Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin menganjurkan Program Mega Jelajah Siswa Universiti Malaya bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai peluang melanjutkan pengajian ke universiti itu.
Program sehari yang berlangsung pada 9 Mei lalu itu melibatkan lebih 300 pelajar daripada 21 sekolah menengah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.
Program tersebut turut memberi fokus terhadap kepentingan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar.
Menerusi program itu, peserta diberi peluang mengenali UM dengan lebih dekat melalui lawatan sekitar kampus termasuk ke beberapa fakulti terpilih, Perpustakaan Utama, Tasik Varsiti dan lokasi ikonik universiti.
Peserta turut mengikuti pelbagai slot akademik melibatkan subjek Matematik, Matematik Tambahan, Kimia dan Sains bagi meningkatkan minat terhadap bidang STEM selain memahami kepentingannya sebagai asas melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Selain memberi pendedahan akademik, program berkenaan turut membuka ruang kepada pelajar memahami suasana kehidupan kampus melalui sesi perkongsian pengalaman bersama mahasiswa UM.
Program tersebut dilaksanakan dengan penglibatan 50 sekretariat dan 48 fasilitator yang terdiri daripada pelajar Universiti Malaya. – MalaysiaGazette















