Aktivis masyarakat yang juga Ketua Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

KUANTAN – Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) digesa memperhebat pemantauan dan penyelenggaraan pokok-pokok berisiko di kawasan awam susulan cuaca tidak menentu yang semakin kerap melanda negara.

Aktivis masyarakat yang juga Ketua Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo berkata, pendekatan menunggu aduan atau bertindak selepas kejadian berlaku tidak lagi memadai memandangkan kejadian ribut dan hujan lebat kini semakin kerap berlaku.

Beliau berkata demikian susulan kejadian hujan lebat dan angin kencang yang menyebabkan beberapa dahan pokok tumbang di Jalan Semambu menghala ke Jalan Beserah di sini malam tadi.

Menurutnya, walaupun tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian berkenaan, insiden seumpama itu tidak boleh dipandang ringan kerana berpotensi mengakibatkan kemalangan serius terutama kepada pengguna jalan raya.

“Pokok atau dahan yang tumbang bukan sahaja menghalang laluan, malah boleh menyebabkan kecederaan serius atau kehilangan nyawa sekiranya menimpa kenderaan yang sedang bergerak.

“Risiko itu lebih tinggi kepada penunggang motosikal yang mempunyai ruang mengelak yang terhad apabila berdepan halangan secara tiba-tiba di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Aktivis masyarakat yang juga Ketua Perhubungan Awam Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Daniel Khoo.

Daniel berkata, isu pokok tumbang bukanlah sesuatu yang baharu kerana kejadian seumpama itu sering dilaporkan setiap kali negara berdepan musim hujan, ribut atau cuaca ekstrem.

Katanya, dalam beberapa insiden sebelum ini, terdapat mangsa yang cedera malah kehilangan nyawa akibat dihempap pokok tumbang ketika berada di atas jalan raya atau di kawasan awam.

“Setiap kali berlaku hujan lebat atau ribut, kita sering membaca laporan mengenai pokok tumbang yang merosakkan kenderaan, menutup laluan dan dalam kes tertentu mengorbankan nyawa bukan sahaja di sini tetapi hampir satu negara.

“Kejadian seperti ini bukan lagi perkara luar biasa. Ia berlaku berulang kali dan sewajarnya menjadi peringatan kepada semua pihak bahawa aspek penyelenggaraan pokok tidak boleh dipandang ringan,” katanya.

Beliau berkata, langkah pencegahan tidak seharusnya dilakukan secara bermusim atau hanya selepas sesuatu kejadian mendapat perhatian masyarakat.

Sebaliknya, katanya, PBT perlu mempunyai pelan pemantauan yang lebih sistematik dan berterusan terutama ketika musim hujan serta peralihan monsun yang lazimnya meningkatkan risiko pokok tumbang.

“Pokok-pokok yang telah berusia, mempunyai akar yang lemah, condong atau menunjukkan tanda-tanda reput perlu dikenal pasti lebih awal melalui pemeriksaan berkala.

“Kerja pemangkasan dan penebangan pokok yang dikenal pasti berisiko juga perlu dilakukan segera sebelum berlaku sebarang kejadian tidak diingini,” ujarnya.

Menurut Daniel, keadaan menjadi lebih membimbangkan sekiranya pokok tumbang melibatkan kabel elektrik kerana ia boleh mengundang risiko renjatan, kebakaran serta bahaya lain kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau menggesa majlis perbandaran mempertingkatkan pemeriksaan terhadap pokok-pokok di sepanjang jalan utama, kawasan perumahan, taman rekreasi, sekolah serta lokasi yang sering menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau turut mencadangkan agar satu mekanisme pemantauan yang lebih berkesan diwujudkan bagi membolehkan pokok-pokok berisiko dikenal pasti dan ditangani lebih awal sebelum mendatangkan bahaya kepada masyarakat.

Pada masa sama, Daniel memuji tindakan beberapa pengguna jalan raya yang berhenti membantu mengalihkan dahan pokok yang menghalang laluan walaupun dalam keadaan hujan lebat.

Katanya, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan yang ditunjukkan mereka wajar dihargai kerana membantu mengurangkan risiko kepada pengguna jalan raya lain.

“Walaupun tugas memastikan keselamatan awam terletak di bawah tanggungjawab pihak berkuasa, tindakan pantas orang ramai membantu membersihkan laluan menunjukkan nilai kemasyarakatan dan semangat saling membantu masih kukuh dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Namun apa yang lebih penting ialah memastikan langkah pencegahan diperkasakan supaya kejadian seperti ini dapat dikurangkan dan tidak terus berulang pada masa hadapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast