KENYATAAN media Pemuda Pas berkenaan isu jenayah seksual di sekolah.

KUALA LUMPUR – Pemuda Pas menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil perhatian yang sewajarnya terhadap kes-kes jenayah seksual khususnya melibatkan guru dan murid yang berlaku dalam kawasan persekolahan.

Timbalan Ketuanya, Mohd Hafez Sabri berkata, pendedahan demi pendedahan terhadap kes-kes sebegitu seharusnya membuka mata ramai pihak terhadap suatu krisis dalaman yang parah yang sedang berlaku melibatkan institusi pendidikan negara.

Menurutnya, Pemuda Pas berpandangan isu kes jenayah seksual yang berlaku melibatkan guru dan anak murid itu satu isu yang sangat genting.

Ujarnya, ia ditambah dengan kelemahan pengurusan kes oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan sekolah termasuk tindakan yang tidak wajar diambil seolah-olah dibuat bagi menutup satu-satu kes daripada terdedah ke pengetahuan masyarakat awam.

“Kedua-dua perkara ini begitu membimbangkan kita. Adakah tidak ada suatu Prosedur Operasi Standard (SOP) yang jelas dalam mengurus krisis yang berlaku apatah lagi melibatkan kes jenayah seksual yang parah seperti itu?

“Persoalan lain yang memerlukan garisan yang jelas dalam isu sebegini adalah, apakah bentuk mekanisme perlindungan yang tegas terhadap si mangsa yang merupakan murid sekolah itu sendiri sedangkan guru yang merupakan pihak yang tertuduh juga dikatakan masih bebas berada dalam kawasan sekolah?” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, Pemuda Pas menegaskan bahawa isu jenayah seksual yang berlaku di sekolah bukanlah isu remeh dan kecil.

Katanya, institusi pendidikan seharusnya bersih daripada sebarang “kekotoran” luar, bahkan sepatutnya menjadi tempat pembelajaran yang selamat untuk kanak-kanak.

Sehubungan itu, tambahnya, Pemuda Pas mengulangi gesaan supaya KPM tidak teragak-agak mengambil langkah yang tegas terhadap kes-kes jenayah seksual seperti yang sedang didedahkan kepada awam ketika ini.

“Bahkan juga KPM perlu memastikan suatu tindakan yang drastik bagi membendung jenayah yang sama di seluruh institusi pendidikan dalam negara,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast