SEREMBAN – Semakin ramai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berikutan peluang pekerjaan yang luas, tempoh pengajian lebih singkat serta prospek pendapatan kompetitif dalam pelbagai sektor industri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, persepsi TVET hanya pilihan kedua selepas universiti perlu diubah kerana laluan itu kini menjadi antara pemacu utama pembangunan tenaga kerja mahir negara.
Menurutnya, tidak semua pelajar mempunyai kecenderungan akademik yang sama dan ramai sebenarnya lebih menyerlah dalam bidang teknikal serta kemahiran praktikal.
“Persaingan untuk memasuki universiti awam semakin tinggi, kos pengajian juga meningkat manakala pasaran kerja kini lebih menuntut kemahiran yang relevan dengan industri.
“Atas sebab itu, TVET menawarkan laluan yang lebih realistik, praktikal dan mempunyai kebolehpasaran yang tinggi kepada lepasan SPM,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, TVET direka bagi melahirkan tenaga kerja mahir menerusi pembelajaran berasaskan latihan praktikal, pengalaman industri sebenar dan pendekatan hands-on yang membolehkan graduan terus memasuki alam pekerjaan.
Katanya, sistem TVET di Malaysia menawarkan pengajian sehingga Tahap 5 menerusi Sijil Kemahiran Malaysia (SKM), Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) dan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM).
Mohd Asna berkata, graduan TVET menjadi pilihan majikan kerana memiliki kemahiran yang diperlukan industri selain mampu bekerja tanpa memerlukan latihan tambahan yang panjang.
“Ramai majikan hari ini mencari pekerja yang mempunyai kemahiran khusus dan pengalaman praktikal, bukan semata-mata kelayakan akademik.
“Ini menyebabkan graduan TVET mempunyai peluang pekerjaan yang baik sejurus tamat pengajian,” ujarnya.
Antara bidang yang mendapat permintaan tinggi ketika ini termasuk Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Pesawat Terbang, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Helikopter, Teknologi Kejuruteraan Penyelenggaraan Avionik, Kecerdasan Buatan (AI), Kenderaan Elektrik (EV) dan Keselamatan Siber.
Pada masa sama, katanya, pelajar TVET turut berpeluang melanjutkan pengajian ke luar negara menerusi pelbagai program biasiswa dan kerjasama antarabangsa.
Menurut beliau, kerajaan China menawarkan biasiswa penuh kepada 1,000 pelajar lepasan TVET Malaysia, manakala Majlis Amanah Rakyat (MARA) membiayai kos tiket penerbangan mereka.
Selain itu, UniKL dan MARA turut menyediakan laluan pengajian ke Rusia, Perancis, Jepun dan Korea dalam pelbagai bidang teknologi serta kemahiran khusus.
Beliau berkata, kerajaan di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara turut memperluas peluang pendidikan TVET sehingga ke peringkat sarjana dan kedoktoran menerusi program yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
“TVET hari ini bukan lagi pilihan kedua. Ia adalah laluan profesional yang diiktiraf kerajaan dan industri, malah semakin mendapat sambutan dalam kalangan anak muda.
“Lebih 220,000 pelajar atau 56.86 peratus daripada lepasan SPM dan setaraf kini memilih aliran TVET, sekali gus membuktikan keyakinan masyarakat terhadap sektor ini semakin meningkat,” katanya lagi.
Mohd Asna berkata, sebanyak 1,398 institusi TVET di seluruh negara terus diperkukuh menerusi kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta bagi memastikan kemahiran yang diajar selari dengan kehendak pasaran pekerjaan semasa. – MalaysiaGazette















