Zahid parti
Gulam Muszaffar Gulam Mustakim

KUALA LUMPUR – Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijangka sukar untuk dibubar lebih awal melainkan ia terbubar secara automatik apabila genap sepenggal atau sehingga habis tempoh lima tahun.

Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Muszaffar berkata, ini kerana persidangan DUN Negeri Sembilan sebelum ini tidak dapat disahihkan susulan ketidakhadiran Undang Yang Empat serta tiada sebarang pembentangan rang undang-undang atau urusan rasmi kerajaan negeri.

“Keadaan itu menimbulkan pertikaian sama ada sidang berkenaan boleh dianggap sebagai persidangan DUN yang sah dari sudut perlembagaan negeri.

“Yang berlaku hanyalah istiadat pembukaan dan penangguhan sidang. Tiada pembentangan usul atau rang undang-undang kerajaan.

“Persoalan sama ada ia memenuhi syarat persidangan DUN masih belum diputuskan secara jelas,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, hari ini.

Gulam Muszaffar juga membangkitkan isu kedudukan kerajaan negeri yang menurutnya telah kehilangan majoriti selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO menarik sokongan daripada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Menurutnya, amalan demokrasi berparlimen dan sistem kerajaan negeri sepatutnya berpaksikan sokongan majoriti dalam DUN.

“Tak pernah ada kerajaan yang memerintah dalam keadaan minoriti secara berterusan. Dalam amalan perlembagaan, kerajaan perlu mendapat sokongan majoriti untuk melaksanakan dasar dan membuat keputusan,” katanya.

Mengulas hubungan UMNO dan Pakatan Harapan (PH), Gulam Muszaffar berkata, beliau tidak melihat sebarang jaminan kerjasama itu akan diteruskan dalam PRN akan datang, termasuk di Negeri Sembilan dan Melaka.

Beliau menegaskan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PH selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak berlaku secara automatik mengikat kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama pada PRN atau PRU akan datang.

“Persefahaman yang wujud selepas PRU-15 adalah untuk membentuk kerajaan ketika itu. Setiap pilihan raya mempunyai dinamik politik yang berbeza dan perlu dinilai mengikut keadaan semasa,” katanya.

Menurut Gulam Muszaffar, keputusan UMNO dan BN untuk bertanding secara solo di Johor boleh menjadi penanda aras kepada strategi parti pada masa depan.

“UMNO perlu membuktikan kekuatan dan identiti perjuangannya sendiri khususnya dalam mempertahankan agenda Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berpendapat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berdepan cabaran mendapatkan sokongan pengundi Melayu yang lebih kukuh meskipun memimpin Kerajaan Persekutuan ketika ini.

“Isu berkaitan agama, bangsa dan institusi diraja terus menjadi faktor utama yang mempengaruhi sentimen politik orang Melayu,” katanya.

Mengulas landskap politik semasa, Gulam Muszaffar menjangkakan pilihan raya akan datang tidak menyaksikan mana-mana parti memperoleh kemenangan besar secara mutlak, sebaliknya undi dijangka berpecah kepada beberapa blok politik utama.

“Golongan pengundi atas pagar semakin bertambah. Ramai yang tidak mahu menyokong Perikatan Nasional (PN).

“Dalam masa sama ramai rakyat tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada. Ini membuka ruang kepada UMNO untuk kembali meraih sokongan,” katanya.

Beliau berkata, kecenderungan pengundi muda dan pengundi atas pagar akan menjadi faktor penentu dalam membentuk kerajaan pada masa depan.

“Kemungkinan berlakunya peningkatan undi protes terhadap parti-parti politik utama dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast