KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai Marina Ibrahim menjawab tuduhan kononnya dia takut untuk bertanding di kawasan Melayu.
Marina menggesa pihak terbabit tidak menabur naratif yang mengelirukan masyarakat.
“Takkan sampai aku nak cerita lagi macam mana aku dengan seorang kawan perempuan Cina masuk berdua sahaja berjalan di Felda masa kempen edar flyers jumpa orang kampung.
“Aku seorang perempuan Melayu yang pernah berkempen dan diludah ke muka oleh seorang pakcik. Kau rasa aku kisah ke?” katanya dalam satu perkongsian di media sosial.
Tambahnya, dia pernah mempersiapkan diri pada 2021 untuk bertanding di DUN Layang-Layang dan berdepan dengan Datuk Onn Hafiz Ghazi di sana.
Malah pada 2022 dia menjadi pengurus kempen di Parlimen Mersing yang mempunyai 76 peratus pengundi Melayu.
“Ini bukan pasal menang tak menang. Gopalakrishnan dari PKR pun boleh menang di Tiram pada tahun 2018 dengan majoriti 1500 lebih. Keputusan aku tak ada kaitan dengan cerita konon merajuk, nak duduk tempat selesa. Mengarut.
“Aku beritahu satu perkara, kalau kau orang perhatikan setiap tulisan aku. Kenapa dari dulu aku cakap sukarelawan aku adalah tulang belakang?
“Mereka lain bangsa, lain agama tapi kenapa aku sangat hormati mereka bila nak ambil keputusan ini? Sebab mereka tahu sebab keputusan aku dan mereka berada dengan aku dalam semua keadaan,” jelasnya.
Pada 31 Mei lalu ADUN DAP itu mengumumkan keputusan untuk tidak bertanding dalam mana-mana pilihan raya serta berundur daripada arena politik.
Kemudian tular surat didakwa dia menolak tawaran untuk bertanding di kerusi DUN Tiram serta jawatan pengerusi dalam sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) jika tewas dalam pilihan raya.
Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching kemudian menjelaskan pelan strategik DAP terhadap Marina untuk membina rekod dan reputasi selaku wakil rakyat sebelum memperluaskan khidmat ke kawasan yang bukan merupakan kubu tradisi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.-MalaysiaGazette
















