Temubual Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain di Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor disifatkan sebagai langkah strategik yang dibuat pada masa paling sesuai dan bukannya berpunca daripada tekanan atau ugutan mana-mana pihak.

Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr. Mohd Zaidi Md Zain berkata, keputusan itu dibuat ketika kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) berada dalam kedudukan yang kukuh serta menikmati kestabilan pentadbiran.

Menurut beliau, dakwaan pembubaran DUN Johor dipengaruhi kenyataan pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke adalah tidak berasas.

“Pembubaran DUN Johor ini adalah satu strategi politik yang saya kira tepat pada masa dan ketikanya.

“Saya tidak melihat keputusan itu dibuat kerana ugutan daripada Anthony Loke atau mana-mana pihak pembangkang, sebaliknya ia merupakan percaturan politik yang dibuat ketika BN berada dalam keadaan selesa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini, hari ini.

Temubual Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Mohd Zaidi Md Zain di Bangsar, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 03 JUN 2026.

DUN Johor ke-15 dibubarkan berkuat kuasa 1 Jun 2026 selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Langkah ini dilaksanakan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 untuk mendapatkan mandat baharu daripada rakyat.

Zaidi juga berkata, reaksi beberapa pemimpin PH sebelum pembubaran DUN Johor diumumkan dan keputusan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu bergerak solo menunjukkan mereka sendiri bimbang terhadap kesan politik yang bakal berlaku.

“Keadaan politik semasa memberi kelebihan kepada BN kerana parti-parti lawan sedang berdepan pelbagai masalah dalaman dan perpecahan.

“Faktor tersebut menjadikan pembubaran DUN Johor sebagai satu langkah yang bertepatan dengan keadaan politik semasa,” katanya.

DUN Johor dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRN yang bakal menyaksikan BN mempertahankan mandat selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Negeri Johor 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast