MELAKA – Siak yang tular terkait kes gangguan seksual fizikal terhadap seorang jemaah wanita dalam bilik mandi jenazah sebuah masjid di sini disahkan sudah meletakkan jawatannya Mei lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, pihak masjid bagaimanapun tidak dapat mengesahkan apakah punca lelaki itu meletakkan jawatannya.
“Hasil semakan dengan pengerusi masjid mendapati, memang benar siak terbabit telah meletakkan jawatan pada Mei lalu, tetapi tidak diketahui apakah puncanya berbuat demikian.
“Hantaran yang tular di media sosial itu pun masih belum dapat dipastikan kesahihannya, malah ia sudah diturunkan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.

Menurut Rahmad, jawatan siak masjid di negeri ini bukannya berada di bawah lantikan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sebaliknya diurus oleh pihak pengurusan masjid sendiri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas satu hantaran Facebook yang bertanyakan adakah benar berlaku kes rogol atau cabul membabitkan seorang jemaah wanita di dalam bilik mayat (bilik mandi jenazah masjid berkenaan.
Hantaran itu turut mendakwa seorang imam enggan membantu mangsa wanita membuat laporan polis selain berlaku pertukaran tugas bagi melindungi individu tertentu.
Bagaimanapun, Rahmad berkata, hantaran berkenaan telah dipadamkan oleh pemilik akaun terbabit.
Beliau sehubungan itu menggesa orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan lanjut dilakukan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang sahih dan tidak mudah mempercayai dakwaan yang tidak disokong fakta atau laporan rasmi.
“Kita tidak mahu sebarang fitnah atau maklumat tidak tepat menjejaskan nama baik institusi masjid serta pihak-pihak yang terlibat,” katanya. – MalaysiaGazette
















