Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kanan) ketika menyantuni Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri dan anaknya, Nur Hawa Sharwisya Muhammad Faezuan Hakim di Bukit Setongkol, Kuantan

KUANTAN – “Saya tahu, ajal maut semua di tangan Allah tapi saya nak tahu punca, apa sebenarnya terjadi”.

Demikian luahan isteri kepada Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustaman, seorang daripada pekerja pelantar minyak yang maut dalam insiden pada 24 Mei lepas di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan.

Menurut Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri, 28, dia sekeluarga masih menanti keputusan siasatan yang dibuat pihak berkaitan yang memasuki hari ke-11 tragedi hitam itu berlaku hari ini.

Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri

“Syarikat arwah ada beritahu perkembangan siasatan dari masa ke masa tapi sehingga hari ini, belum ada keputusan mengenai punca sebenar kejadian tu.

“Tapi, memang saya nak tahu punca kejadian. Saya tahu, ajal maut semua di tangan Allah tapi kita nak tahu punca, apa sebenarnya terjadi dan keadilan untuk suami saya,” katanya ketika ditemui di Bukit Setongkol di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nurkhaeryna terkilan kerana tidak sempat melakukan persiapan menyambut cahaya mata kedua mereka bersama-sama seperti yang dirancang.

Katanya yang sedang hamil lapan bulan, mereka merancang untuk membeli kelengkapan bayi bersama-sama pada 1 Jun lepas apabila Muhammad Faezuan pulang daripada tugasan namun hajat itu tidak kesampaian.

“Pemergiannya mengejut, saya betul-betul tak sangka. Ini nak bersalin tanpa suami, saya tak tahulah macam mana,” luahnya lagi.

Nurkhaeryna bagaimanapun meluahkan rasa syukur kerana dikelilingi ahli keluarga ketika ini selain pihak-pihak yang menzahirkan keprihatinan terhadap nasib yang menimpanya.

“Banyak pihak datang membantu, daripada pihak Tengku Mahkota Pahang, Tangku Hassanal Ibrahim Alam Syah; Pahang Rangers iaitu Tengku Fahad Muadzam Shah; pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), SOCSO dan PERKESO. Ramai yang prihatin.

“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu saya menanggung anak berusia setahun tahun tujuh bulan dan anak dalam kandungan yang dijangka bakal lahir pada hujung bulan depan,” jelasnya.

Hari ini, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan turut hadir menyantuni Nurkhaeryna sekeluarga bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

Nurkhaeryna Dhania Azreen Khairil Azri (kiri) menerima sumbangan kerajaan negeri menerusi Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Sabariah Saidan (kanan)

“PERKESO hari ini hadir memberi bantuan kepada waris yang mempunyai seorang anak dan anak yang akan lahir bulan hadapan dengan bantuan bulanan RM3,000 lebih sehingga akhir hayat.

“Pihak kerajaan negeri melalui JKM juga menyumbangkan bantuan kepada balu mangsa termasuk khidmat kaunseling sekiranya memerlukan khidmat nasihat,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hujan lebat iringi pengebumian dua mangsa tragedi pelantar minyak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast