Jenazah dua mangsa tragedi pelantar di Platform Sepat pada semalam yang selamat dikebumikan petang tadi di Tanah Perkuburan Islam Setali

KUANTAN – Suasana pilu menyelubungi Tanah Perkuburan Islam Setali di sini apabila ratusan ahli keluarga, sahabat dan rakan sekerja hadir memberikan penghormatan terakhir kepada dua mangsa tragedi pelantar di Platform Sepat semalam yang selamat dikebumikan petang tadi.

Hujan lebat mengiringi jenazah Allahyarham Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dan Allahyarham Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, selamat dikebumikan secara berasingan di tanah perkuburan berkenaan.

Awan mendung dikuti hujan yang mula turun sejak proses memandikan jenazah jam 2.30 petang, semakin lebat kira-kira 15 minit kemudian.

Bagaimanapun keadaan itu tidak menghalang orang ramai daripada terus berada di tanah perkuburan bagi mengiringi perjalanan terakhir kedua-dua mangsa.

Jenazah Nik Muhammad Hafifi tiba kira-kira jam 5.30 petang dan selamat dikebumikan sekitar 15 minit kemudian, manakala jenazah Muhammad Faezuan Hakim pula tiba kira-kira jam 5.40 petang sebelum dikebumikan sekitar jam 6.15 petang.

Terdahulu, proses menandikan jenazah dan solat jenazah Nik Muhammad Hafifi diadakan di Masjid Imam Ash-Shafie selepas di jenazah dibawa dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sejurus proses bedah siasat pada jam 2.30 petang.

Sementara itu, solat jenazah Muhammad Faezuan Hakim di Masjid Cenderawasih, di sini sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Setali untuk pengebumian.

Dalam kejadian pada Ahad, tiga pekerja kontraktor penyelenggaraan di pelantar minyak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas bot penyelamat (life boat) yang dinaiki mereka terjatuh ke dalam laut di Platform Sepat dalam jnsiden 12.50 tengah hari.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah Ahmad Fiqri Zakaria, 38, manakala Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, cedera parah dan sedang menerima rawatan di HSNZ.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuala TerengganuACP Azli Mohd Noor berkata kejadian berlakupada 12.50 tengah hari semasa semua mangsa dipercayai menaiki sebuah bot penyelamat yang berada di atas platform untuk turun ke laut bagi menjalankan kerja penyelenggaraan di bahagian bawah platform.

Bagaimanapun, tali atau cangkuk yang dipasang pada bot itu dipercayai tercabut menyebabkan kesemua mangsa terjatuh ke dalam laut bersama-sama bot.

Insiden tersebut turut mendapat perhatian Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar Al-Haj yang menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.

Manakala kerajaan negeri turut merakamkan ucapan takziah menerusi Facebook rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast