KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Selangor (PKR) Selangor menyifatkan pemimpin parti itu yang pro-Datuk Seri Rafizi Ramli tetapi masih kekal di dalam parti seperti dedalu yang merosakkan parti dari dalam.
Sehubungan itu, Pengarah Komunikasinya, Dr Mohd Fauzi Fadzil menggesa kumpulan berkenaan meninggalkan wadah perjuangan reformasi PKR secara terhormat.

Menurut beliau, meskipun keputusan itu sedikit melukakan, namun ia lebih baik daripada terus kekal di dalam PKR dan membawa kerosakan dari dalam parti.
“Keberadaan golongan dedalu di dalam Keadilan hanya akan merencatkan gerak kerja bagi menghadapi pilihan raya akan datang, mereka sudah pasti tidak berkeinginan untuk mencurah bakti seperti dahulu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, PKR sentiasa menerima semua anggotanya yang menyatakan taat setia untuk terus berada di dalam perjuangan reformasi.
Namun, ujarnya, jika terdapat ahli yang secara terang-terangan menunjukkan kesetiaan dan minat kepada wadah politik lain, maka mereka dipersilakan dengan secara hormat meninggalkan PKR.
Tegas beliau, kesetiaan dan kepercayaan tidak boleh dipaksa dan jika ia sudah tidak wujud, maka seluruh keluarga PKR menghormati keputusan mana-mana pihak untuk keluar secara terhormat.
Tambahnya, contoh itu telah ditunjukkan oleh Rafizi sendiri yang mana keputusan beliau keluar parti itu walaupun dikesali, namun tetap dihormati kerana tidak meyusahkan wadah PKR untuk jangka masa panjang.
“Justeru kepada golongan dedalu yang masih wujud di dalam Keadilan, buatlah keputusan yang terhormat.
“Jika benar masih ingin kekal setia bersama PKR, maka zahirkan taat setia tersebut, sekiranya ingin meninggalkan PKR maka lakukannya secara aman,” katanya.
Beberapa Ahli Parlimen PKR ketika ini dilihat lebih cenderung bersama perjuangan Rafizi termasuk menghadiri pelancaran parti baharu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) oleh bekas Timbalan Presiden PKR itu bersama-sama bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Lima Ahli Parlimen PKR yang hadir pada majlis itu ialah Rodziah Ismail (Ampang); Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau); Wong Chen (Subang); S Kesavan (Sungai Siput) dan Zahir Hassan (Wangsa Maju). -MalaysiaGazette
















