Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre, Batu Pahat. Foto MOHD ADZLAN, 06 JUN 2026.

BATU PAHAT – Pembahagian kerusi antara Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya negeri (PRN) sudah pun selesai dan kini hanya menunggu persetujuan rasmi Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, perbincangan pembahagian kerusi itu dilakukan petang tadi yang melibatkan semua parti komponen PH.

“Cuma nak tunggu dimutkamadkan dan yang itu kena Pengerusi PH cop (luluskan) baru jadi, sehingga tadi dah selesai. Tak perlu gundah-gulana. Fokus kepada jentera, fokus kepada menyampaikan mesej yang matang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Kim’s Park Business Centre di sini hari ini.

Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu dan Pengerusi Majlis Pimpinan (PKR) Johor, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Saifuddin berkata, pendekatan PH bukan us versus them tetapi lebih kepada kebersamaan iaitu Melayu, India dan Cina adalah satu keluarga besar yang menghormati antara satu sama lain.

Jelasnya, PH tidak memainkan politik yang menakutkan rakyat dengan bahawa Melayu akan hilang hak, agama tergugat dan bangsa tercabar sekali gus disifatkan sebagai politik toksik.

“Jangan bagi ruang kempen yang menakutkan, hilang hak, agama tergugat, bangsa tercabar. Saudara, Melayu, Cina, India adalah kebanggaan kita. Kita tak diminta lahir sebagai Melayu sebagai Cina, sebagai India, tidak. Itu fitrah yang kita telah pun diberikan.

“Kerana itu, pendekatan Pakatan Harapan ialah pendekatan politik we are all together, bukan us versus them. Saya nak tekankan yang itu,” katanya .- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast