Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berucap pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

ISKANDAR PUTERI – Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong menyeru rakyat Johor agar terus memberikan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dan kerajaan negeri pimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi bagi memastikan kesinambungan pembangunan serta kemakmuran negeri itu.

Ka Siong berkata, prestasi pentadbiran Johor sejak beberapa tahun kebelakangan ini membuktikan kemampuan kerajaan negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi serta menarik pelaburan asing.

Menurut beliau, kadar pertumbuhan ekonomi Johor mengatasi purata nasional apabila negeri itu mencatat pertumbuhan sekitar 6.4 peratus berbanding kadar pertumbuhan negara yang berada pada sekitar 5.1 hingga 5.2 peratus.

“Ini bukan angka yang kecil. Ia hasil kerja keras dan komitmen kepimpinan negeri yang sentiasa berusaha menyelesaikan masalah rakyat serta memastikan pembangunan Johor terus bergerak ke hadapan,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Stadium Tertutup Kompleks Educity, di sini, hari ini.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Barisan Nasional Negeri Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi hadir pada Pelancaran Jentera Barisan Nasional (BN) di stadium Educity, Iskandar Puteri, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 07 JUN 2026.

Ka Siong turut memuji usaha Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang berjaya menjadikan negeri itu destinasi utama pelaburan asing langsung (FDI) di Malaysia.

Jelasnya, Johor yang berada di kedudukan keempat dari segi FDI pada 2022 kini muncul sebagai negeri nombor satu dalam menarik pelaburan asing selama beberapa tahun berturut-turut.

“Dalam tempoh empat tahun, Johor berjaya menarik pelaburan bernilai RM272 bilion dan RM110 bilion direkodkan pada tahun lalu sahaja. Ini merupakan pencapaian yang amat luar biasa,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan kejayaan Johor bukan semata-mata disebabkan kedudukannya yang berhampiran Singapura, sebaliknya hasil perancangan strategik dan kepimpinan yang berkesan.

Dalam masa sama, Ka Siong berkata, kerajaan negeri juga berjaya melaksanakan pelbagai program kebajikan yang memberi manfaat kepada rakyat tanpa mengira kaum, termasuk masyarakat Melayu, Cina, India serta Orang Asli.

“Perhatian yang diberikan terhadap golongan warga emas, suri rumah, petani serta sektor pendidikan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan semua lapisan masyarakat.

“Ini adalah contoh terbaik bagaimana BN mentadbir sebuah negeri secara inklusif dan menjaga kepentingan semua rakyat tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Sehubungan itu, Ka Siong menggesa seluruh jentera BN dan parti-parti komponen untuk terus memperkukuh kerjasama serta merapatkan saf bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita mahu menang dengan majoriti yang lebih besar. Dengan semangat dan kesatuan yang ditunjukkan hari ini, saya yakin rakyat akan terus memberi kepercayaan kepada BN untuk meneruskan agenda pembangunan Johor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast