Hasbi.

GEORGE TOWN – Kementerian Pengangkutan (MOT) masih menunggu hasil siasatan penuh berhubung kemalangan tragis yang mengorbankan enam sekeluarga di Kampung Baru Pinang Tunggal, Kedah semalam.

Timbalan menterinya, Datuk Hasbi Habibollah berkata, pihaknya belum boleh mengeluarkan sebarang kenyataan lanjut sehingga laporan siasatan lengkap diperoleh.

“MOT sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian berkenaan.

“Kita masih menunggu lagi siasatan. Saya tidak boleh komen sehingga siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Forum Transit Rel Antarabangsa (IRTF) 2026 di sebuah hotel di Bukit Jambul di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

ARTIKEL BERKAITAN:

Nahas ragut enam nyawa: Iskandar Affan selamat dikebumikan

Saya sudah rasa akan kehilangan anak – ibu Iskandar Affan

Semalam, media melaporkan enam sekeluarga maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori tanah di Jalan Pinang Tunggal, Sungai Petani.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 petang itu, mangsa dikatakan dalam perjalanan ke Merbok untuk menziarahi kubur ahli keluarga sebelum kenderaan dinaiki terbabit dalam kemalangan.

Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Ahmad Shafiq Ahmad Shukri, 29; Nora Mhd Husin, 55; Jamaliah Sannusi, 27; Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21; Iskandar Affan, tujuh tahun serta seorang bayi berusia enam bulan.

Seorang lagi mangsa, Aulia Sofea Ahmad Shafiq, 3, dilaporkan mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 49 tahun itu bergerak pada kelajuan kira-kira 60 kilometer sejam (km/j) ketika kejadian.

Katanya, terdapat juga dakwaan yang mengaitkan kemalangan itu dengan kemungkinan masalah teknikal pada SUV Proton X50 yang baru diterima keluarga terbabit, namun semua aspek masih dalam siasatan.

“Kita akan menyiasat secara menyeluruh termasuk menghantar SUV tersebut ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast