Isteri bekas Panglima Tentera Darat, Salwani Anuar @ Kamarudin tiba di Mahkamah Sesyen KL bagi sebutan kes berkaitan pengubahan wang haram di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 JANUARI 2026 (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Kerajaan dibenar mewartakan harta milik isteri ketiga bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan bagi membolehkan pihak ketiga yang berhasrat membantah prosiding lucut hak harta berkenaan, hadir di Mahkamah Sesyen.

Hakim Azura Alwi membenarkan permohonan pendakwa raya untuk menyiarkan harta milik Salwani Anuar @ Kamaruddin dalam warta kerajaan selepas ia tidak dibantah oleh wanita itu selaku responden.

Mahkamah mengeluarkan warta pihak ketiga mengikut Seksyen 41(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Beliau kemudian menetapkan 31 Julai ini bagi membolehkan pihak ketiga hadir ke mahkamah untuk mencabar permohonan pelucuthakan yang difailkan pendakwa raya bulan lalu.

Sebelum tarikh itu (31 Julai), pihak ketiga yang berhasrat untuk mencabar permohonan pelucuthakan, boleh mengemukakan afidavit sebelum mahkamah memutuskan sama ada harta berkenaan dilucuthakan atau sebaliknya.

Berdasarkan notis yang difailkan pada 4 Mei lalu, pendakwa raya memohon agar seutas rantai leher seberat 29.17 gram, seutas rantai tangan seberat 9.53 gram, sepasang subang seberat 6.61 gram dan cincin Swarovski dilucut hak kepada kerajaan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat memaklumkan, pihaknya telah memfailkan afidavit bagi menyokong permohoan lucut hak manakala kertas kausa telah diserahkan kepada responden.

Sementara itu, peguam Muhammad Kausar Mohd. Khairi mengesahkan anak guamnya tidak membantah permohonan pendakwaan untuk memanggil pihak ketiga dalam prosiding tersebut.

Salwani yang hadir di mahkamah ditemani suaminya, turut diwakili peguam Aizul Rohan Anuar. Pasangan itu didakwa berasingan pada Januari lalu.

Menurut notis yang difailkan pada 4 Mei lalu, harta-harta alih itu disita di bawah Seksyen 45(2) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 dan kini berada dalam simpanan SPRM.

Pada 22 Januari, Salwani, 27, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima RM77,000 hasil haram melalui akaun bank CIMB Wany Venture antara November 2024 dan November 2025, di mana Salwani adalah pengawal syarikat itu.

Di Terengganu pula, pada 26 Januari, wanita itu didakwa atas satu pertuduhan menerima wang berjumlah RM5,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast