JOHOR BAHRU – Tindakan Pas Pusat memutuskan hubungan dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kelmarin tidak menjejaskan hubungan kedua-dua parti tersebut di peringkat negeri ini.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed berkata, sehingga kini hubungan Pas dan Bersatu di Johor masih seperti biasa.
Pesuruhjaya PAS Johor itu berkata, kepimpinan Bersatu Johor juga ada menghubunginya berkenaan keputusan tersebut.
“Malah saya sendiri pun sudah hubungi Datuk Dr Sahruddin Jamal (Pengerusi PN Johor merangkap Ketua Bersatu Johor).
“Saya akur dengan keputusan yang sudah dibuat. Namun kita teruskan persahabatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Pas Johor di Ibu Pejabat Pas Johor, Bandar Baru Uda di sini, malam tadi.
Kelmarin, Pas mengejutkan landskap politik tanah air apabila membuat ketetapan mengejut menghentikan serta-merta kerjasama politik dengan rakan sekutunya dalam PN itu.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan memutus hubungan itu dibuat selepas parti tersebut meneliti kedudukan dan hala tuju kerjasama politik Pas-Bersatu berdasarkan laporan, kajian serta penilaian semasa secara menyeluruh.
Mengulas lanjut, Mahfodz berkata, beliau juga sudah mengarahkan Pas di peringkat kawasan untuk meneruskan silaturahim dengan Bersatu.
Jelas beliau, ini kerana mereka hanya tidak sehaluan daripada segi kerjasama politik tetapi persahabatan tetap diteruskan.
Katanya, jentera Pas Johor akan terus bergerak dan persiapan menghadapi pilihan raya kecil (PRN) tidak dihentikan meskipun berlaku perubahan landskap politik semasa.- MalaysiaGazette
















