Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol (tiga dari kanan) dalam majlis perasmian Himalaya Sports sebagai Rakan Strategik Korporat ISN di Institut Sukan Negara, Bukit Jalil, hari ini.

BUKIT JALIL – Institut Sukan Negara (ISN) hari ini mengumumkan Himalaya Sports sebagai rakan strategik korporat menerusi kerjasama perkongsian awam-swasta (PPP) bagi memperkukuh pembangunan sukan negara.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol berkata, pembangunan sukan negara memerlukan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti sukan.

“Kerajaan sentiasa percaya bahawa pembangunan sukan bukanlah tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kejayaan ekosistem sukan negara memerlukan penglibatan semua pihak,” katanya ketika merasmikan majlis berkenaan di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Beliau berkata, kerjasama antara ISN dan Himalaya Sports merupakan contoh sinergi sektor awam dan swasta yang mampu memberi impak positif kepada pembangunan sukan serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, Pengarah Urusan Himalaya Sports, Datuk Kenny Low berkata, pengiktirafan daripada ISN menjadi pemangkin kepada syarikat itu untuk terus meningkatkan mutu produk dan menyumbang kepada pembangunan ekosistem sukan negara.

“ISN merupakan penanda aras kecemerlangan sukan negara. Pengendorsan yang diberikan kepada Himalaya Sports adalah satu pengiktirafan yang amat kami hargai,” katanya.

Himalaya Sports yang diperkenalkan pada 2017 kini dipasarkan di lebih 10 negara dan akan menyokong pelbagai program komuniti, pendidikan sukan serta inisiatif gaya hidup sihat bersama ISN. – MalaysiaGazette



IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast