PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang baharu dilantik, Mohd Hisyamuddin Ghazali mencabar ahli perniagaan, Albert Tei untuk berdebat secara langsung.
Mohd Hisyamuddin membuat cabaran itu selepas Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing muncul secara tiba-tiba selepas beliau membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.
“Albert, nanti saya sediakan pentas dan kita debat di situ. Soalan awak simpan dulu untuk kita gunakan nanti. Takkan nak dua lawan pula,” katanya secara sinis ketika sidang media di sini hari ini.
Terdahulu, Albert Tei bersama beberapa individu lain hadir ke IPD Putrajaya dan bertanyakan beberapa soalan yang dilihat berbentuk gangguan, namun Mohd Hisyamuudin membalas bersedia untuk menyediakan pentas debat untuk mereka.
Terdahulu, Mohd Hisyamuudin hadir membuat laporan polis terhadap Albert Tei yang didakwa menggangu kententeraman di premis Kementerian Komunikasi serta mengeluarkan pelbagai tuduhan tidak berasas terhadap kementerian dan menteri terlibat.
Jelasnya, tindakan individu itu bertujuan mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi serta menimbulkam keresahan dalam kalangan penjawat awam yang tidak boleh dipandang ringan.
Laporan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Seksyen 504 Kanun Keseksaan berkaitan provokasi boleh menggugat ketenteraman awam.
Selain itu laporan dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berhubung penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan serta Sekyen 14 Akta Kesalahan- Kesalahan Kecil 1995 berkaitan perlakukan menghina atau mengaibkan. – MalaysiaGazette
















