Kredit: FB Malaysian Hockey Confederation

KUALA LUMPUR- Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan kempen Piala Negara-Negara Lelaki FIH 2025-2026 dengan langkah kanan selepas menewaskan Scotland 5-2 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Cape Town, Afrika Selatan hari ini.

Malaysia membuka jaringan seawal minit kelima menerusi gol padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan kedudukan menerusi pukulan penalti strok pada minit ke-34.

Scotland bagaimanapun merapatkan jurang lima minit kemudian selepas Jamie Golden berjaya menyempurnakan penalti strok.

Pasukan negara kendalian Brendon Carolan kembali memperkukuh kedudukan apabila Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi meledak jaringan padang pada minit ke-42 sebelum Muhammad Azrai sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring menerusi pukulan sudut penalti tujuh minit kemudian.

Scotland cuba bangkit apabila Andrew McConnell menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-57, namun Muhammad Azrai melengkapkan malam cemerlangnya dengan hatrik menerusi jaringan padang seminit sebelum perlawanan berakhir untuk mengesahkan kemenangan skuad The Speedy Tigers.

Malaysia akan bertemu Jepun pada aksi kedua kumpulan yang dijadual berlangsung esok.

Selain Scotland dan Jepun, Malaysia turut diundi bersama New Zealand dan Korea Selatan dalam Kumpulan A sementara Kumpulan B menampilkan Perancis, Ireland, Amerika Syarikat dan pasukan tuan rumah.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast