KUALA LUMPUR – Polis telah menerima maklumat berhubung penganjuran ‘Himpunan Gegar TikTok’ yang dirancang oleh ahli perniagaan, Albert Tei yang akan berlangsung di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity di sini, esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, buat masa ini pihaknya sudah mengadakan mesyuarat dengan pihak penganjur berhubung perhimpunan itu.
“Kita sudah terima maklumat melalui media serta cadangan mengenai penganjuran himpunan itu. Jadi kita akan bantu permudahkan.
“Jika ada perhimpunan sebegini dianjurkan, kita akan pastikan keselamatan semua pihak menjadi keutamaan. Sekiranya ada keganasan atau pelanggaran, tiada tolak ansur dan polis akan mengambil tindakan sekeras-kerasnya,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran Advokasi Kesedaran Lalu Lintas 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan Alam Damai, di sini hari ini.
Terdahulu, ahli perniagaan, Albert Tei menjemput orang ramai khususnya pengguna TikTok menghadiri ‘Himpunan Gegar TikTok’ yang dijadual berlangsung esok.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheng berkata, himpunan aman itu akan diadakan pukul 10 pagi di Ibu Pejabat TikTok, Sunway Velocity di sini.
Menurutnya, himpunan itu bagi menyampaikan peringatan supaya platform media sosial khususnya TikTok tidak lagi disekat dan hak kebebasan bersuara rakyat Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak ditindas. – MalaysiaGazette
Albert Tei seru orang ramai turun ‘Himpunan Gegar TikTok’ di Sunway Velocity esok
















