Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh ketika sidang media pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent, Ipoh, pada Jumaat. Foto ANIQ NABILAFIQ ANUAR, 12 JUN 2026.

IPOH – Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan kepada pihak berkuasa berhubung dakwaan kewujudan sebuah sekolah untuk etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian, Kuala Terengganu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, ini kerana perkara berkenaan bukan di bawah bidang kuasa kementerian sebaliknya memberi laluan kepada pihak berkaitan untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya.

“Perkara ini bukan di bawah bidang kuasa KPM, namun sebarang usaha kepada penubuhan sekolah dalam negara ini tertakluk kepada Akta Pendidikan 1996,” jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan Akademik Ke-69 di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Ave Maria Convent di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Perak, Ahmad Faidzul Mat Yazid serta Pengetua SMJK Ave Maria Convent, Tan Pei Nee.

Semalam, sebuah media tempatan melaporkan kewujudan sebuah sekolah yang dibangunkan etnik Rohingya di Kuala Terengganu sejak Februari lalu telah mendatangkan kegusaran kepada penduduk.

Media itu melaporkan, pusat pengajian untuk kanak-kanak etnik berkenaan yang berusia antara empat hingga 15 tahun itu didirikan dengan menggunakan papan lapis sebagai dinding selain turut menerima bekalan elektrik serta air bersih.

Juga dilaporkan bangunan yang dijadikan pusat pendidikan untuk menempatkan antara 30 dan 50 kanak-kanak Rohingya itu disewa daripada penduduk tempatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast