KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak saman pemula yang difailkan oleh guru tadika, M Indira Gandhi bersama 13 plaintif lain berhubung isu penukaran agama secara sepihak melibatkan kanak-kanak.
Hakim Datuk Aliza Sulaiman membuat keputusan itu selepas mendapati kesemua plaintif gagal membuktikan mereka mempunyai kedudukan di sisi undang-undang untuk meneruskan tindakan berkenaan.
Keputusan tersebut disampaikan menerusi prosiding secara dalam talian yang berlangsung petang ini.
Dalam penghakiman, Aliza berkata, plaintif gagal menunjukkan mereka mempunyai kepentingan yang mencukupi untuk mendapatkan deklarasi yang dipohon.
“Pada pandangan mahkamah, plaintif tidak berjaya membuktikan bahawa mereka mempunyai kepentingan sebenar dalam mendapatkan perintah deklarasi yang dipohon.
“Malah, walaupun mereka dianggap sebagai individu atau pertubuhan yang bertindak atas semangat kepentingan awam, mahkamah masih tidak dapat menerima bahawa mereka mempunyai kepentingan yang mencukupi dalam perkara ini,” katanya.
Melalui saman itu, plaintif memohon deklarasi tujuh peruntukan undang-undang negeri yang didakwa membenarkan penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sepihak bercanggah dengan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan serta keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018.
Peruntukan yang dicabar melibatkan undang-undang berkaitan pentadbiran agama Islam di Perlis, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan.
Mereka turut memohon mahkamah mengisytiharkan penukaran agama secara sepihak terhadap kanak-kanak sebagai tidak berperlembagaan serta membatalkan penukaran yang berlaku selepas keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.
Mengulas kedudukan Indira sebagai plaintif pertama, Aliza berkata, wanita itu yang sebelum ini terlibat dalam kes penukaran agama anak-anaknya yang mendapat perhatian seluruh negara tidak mengemukakan sebarang afidavit untuk menunjukkan bagaimana kepentingannya akan terjejas sekiranya permohonan itu tidak dibenarkan.
Menurut beliau, segala isu yang dibangkitkan Indira sebelum ini telah pun diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan.
“Apapun rungutan yang dimiliki plaintif pertama telah diselesaikan sepenuhnya menerusi keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi dan kepentingannya dalam tindakan ini hanya bersifat akademik,” ujarnya.
Mahkamah turut mendapati plaintif kedua hingga ke-12 gagal mengemukakan bukti yang mencukupi untuk menunjukkan mereka mempunyai hubungan langsung dengan isu yang dibangkitkan.
Menurut hakim, sebahagian plaintif hanya menyatakan mereka menetap di negeri-negeri yang terlibat tanpa menunjukkan bagaimana peruntukan yang dicabar memberi kesan kepada mereka.
Malah, tiada bukti dikemukakan bahawa mereka mempunyai anak bawah umur yang berpotensi terjejas oleh peruntukan undang-undang tersebut.
Bagi plaintif ke-13 dan ke-14 yang mendakwa pernah menjadi mangsa penukaran agama secara sepihak ketika masih kanak-kanak, mahkamah berkata kejadian itu berlaku bertahun-tahun sebelum keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi pada 2018.
Hakim berkata, kedua-dua plaintif itu juga tidak memohon untuk membatalkan status penukaran agama mereka sendiri melalui tindakan yang difailkan.
Menurut Aliza, kedua-duanya kini telah dewasa dan bebas mengambil tindakan undang-undang yang bersesuaian sekiranya mahu mencabar status agama masing-masing.
Mahkamah turut memutuskan kes berkenaan tidak termasuk dalam kategori luar biasa yang membolehkan sesuatu undang-undang dicabar hanya berdasarkan kewujudannya semata-mata tanpa menunjukkan ancaman atau kesan sebenar terhadap pihak yang memfailkan tindakan.
“Keterangan yang dikemukakan tidak menunjukkan wujud masalah atau pertikaian sebenar yang menjejaskan hak plaintif,” katanya.
Mahkamah juga mengambil maklum hujahan isu penukaran agama kanak-kanak tidak boleh diputuskan secara menyeluruh menerusi satu perintah umum kerana setiap kes mempunyai fakta dan keadaan yang berbeza.
Menurut hakim, faktor kepentingan terbaik kanak-kanak perlu dinilai berdasarkan keadaan setiap kes dan tidak boleh diputuskan secara pukal.
Sehubungan itu, Aliza memutuskan bahawa kesemua plaintif gagal memenuhi syarat asas untuk mempunyai kedudukan di sisi undang-undang bagi memulakan tindakan tersebut.
“Oleh itu, saman pemula plaintif ditolak tanpa sebarang perintah mengenai kos,” ujar beliau. -MalaysiaGazette















