KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menjangkakan beliau akan didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa minggu lagi susulan siasatan berhubung hantaran berkaitan Rukun Negara yang dimuat naik di media sosial.
Beliau berkata, perkara itu disedari selepas statusnya dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berubah daripada saksi kepada suspek ketika hadir memberi keterangan tambahan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini.
Menurutnya, beliau menerima mesej daripada Bukit Aman pada Khamis lalu yang memintanya hadir untuk sesi soal siasat tambahan berkaitan kes tersebut.
Katanya, beliau hadir bersama peguamnya, Sangeet Kaur Deo dan menyifatkan pertemuan bersama pegawai penyiasat berlangsung dalam suasana yang baik dan profesional.
“Kami dimaklumkan kertas siasatan sebelum ini telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebelum dipulangkan semula kepada Bukit Aman bagi mendapatkan beberapa penjelasan tambahan.
“Soalan yang dikemukakan kebanyakannya berkaitan definisi perkataan seperti decree yang digunakan dalam hantaran Facebook saya.
”Saya menjelaskan maksudnya adalah seperti yang telah ditulis dan bersedia memberikan penjelasan lanjut di mahkamah sekiranya diperlukan,” dedah beliau dalam Facebook hari ini.
Tony berkata, sesi soal siasat tersebut hanya mengambil masa kira-kira 30 minit.
Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat perbezaan ketara berbanding sesi siasatan terdahulu apabila status keterangannya kali ini direkodkan sebagai suspek bukan saksi.
“Keadaan ini memberi gambaran kebarangkalian untuk saya didakwa di mahkamah dalam tempoh beberapa minggu akan datang semakin tinggi.
“Saya kini disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara juga boleh memutuskan untuk mendakwa saya di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Beliau berkata, dirinya bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan diri serta mempertahankan semangat Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan di mahkamah.
“Agak malang apabila saya sudah bersara daripada kehidupan awam namun kehidupan awam pula belum bersara daripada saya,” katanya. -MalaysiaGazette















