KUALA LUMPUR – ELSA Berhad mencipta satu lagi pencapaian penting apabila secara rasmi disenaraikan di ACE Market Bursa Malaysia, sekali gus menandakan kejayaan dalam usaha memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi dalam pasaran modal negara.
Penyenaraian itu mencerminkan keberkesanan ekosistem pemudahcaraan, pembiayaan strategik dan pembangunan kapasiti yang diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera
(TERAJU), agensi di bawah Kementerian Ekonomi dalam menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera ke arah penskalaan dan penyenaraian awam.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir, Menteri Ekonomi, penyenaraian ELSA Berhad sebagai tawaran awam permulaan (IPO) ke-32 Malaysia tahun ini merupakan cerminan jelas terhadap keyakinan berterusan pelabur kepada syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh, tadbir urus yang baik dan hala tuju pertumbuhan yang meyakinkan.
“Penyenaraian ELSA Berhad bukan sekadar satu pencapaian korporat, tetapi turut membawa mesej penting bahawa syarikat Bumiputera kini bukan hanya mengambil bahagian dalam ekonomi, malah semakin bersedia untuk berkembang, bersaing dan menerajui sektor bernilai tinggi.
“Seiring dengan aspirasi PuTERA35, Kerajaan akan terus menyokong lebih banyak perusahaan Bumiputera berpotensi tinggi untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan
kesiapsiagaan pelaburan dan memanfaatkan pasaran modal sebagai platform pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyenaraian ELSA Berhad itu di Bursa Malaysia di sini hari ini.

ELSA Berhad merupakan salah satu daripada 20 syarikat Bumiputera generasi baharu berpotensi tinggi yang telah dikenal pasti dan dipersiapkan untuk penyenaraian di Pasaran
ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia melalui Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF), selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Akmal Nasrullah menambah, penyenaraian ELSA Berhad mencerminkan aspirasi PuTERA35 dalam melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera berdaya saing yang mampu berkembang secara mampan, mencipta nilai dan bersaing dalam sektor ekonomi bernilai tinggi di peringkat serantau serta global.
“Penyertaan syarikat Bumiputera dalam pasaran modal turut memperkukuh pemilikan korporat, di samping menyokong penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.
Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, kejayaan ELSA Berhad memperlihatkan bagaimana ekosistem sokongan yang dibangunkan TERAJU membantu syarikat Bumiputera berpotensi tinggi mempercepatkan perjalanan mereka ke pasaran modal.
“Melalui sokongan pembiayaan strategik menerusi BSAF, TERAJU membantu syarikat Bumiputera memperkukuh kapasiti perniagaan, meningkatkan daya saing serta mempercepatkan kesiapsiagaan ke arah penyenaraian awam.
“TERAJU akan terus memperkukuh ekosistem ini bagi melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang berdaya saing, berimpak tinggi dan bersedia untuk berkembang ke peringkat seterusnya selaras dengan aspirasi PuTERA35,” katanya. – MalaysiaGazette
















