KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak tidak pernah membuat sebarang percubaan untuk mengesahkan kesahihan empat keping surat derma dari Arab Saudi bagi membuktikan kewujudan penderma tersebut.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat, tiada bukti menunjukkan bekas Perdana Menteri pernah bertemu, berkomunikasi atau wujud proses penghantaran surat bagi membuktikan dakwaannya.
“Tertuduh tidak mengemukakan apa-apa bukti menerusi komunikasi langsung dengan mana-mana penderma Arab Saudi selain mengakui bahawa surat derma itu tidak datang terus daripada pihak Arab,” ujar beliau.
Malah menurut Hakim Collin, Najib terus menggunakan dana itu walaupun selepas dimaklumkan mengenai asal usulnya yang meragukan.
Ujar beliau, bekas Perdana bagaimanapun akhirnya mengakui bahawa perkara berkaitan derma Arab itu tidak didedahkan dalam sebarang cara atau bentuk rasmi mahupun kepada Kabinet.
Mahkamah selanjutnya mencapai kesimpulan yang tidak dapat ditolak bahawa wang tersebut diperoleh hasil daripada usahasama (JV) di antara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan PetroSaudi.
Ujar hakim itu, meskipun pembelaan menghujahkan dana tersebut berpunca daripada urusniaga komersial bebas namun bukti menunjukkan tertuduh meluluskan usahasama tersebut.
“Jelas bahawa sekiranya bukan kerana kuasanya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, pemindahan dana ini tidak akan berlaku.
“Bertentangan dengan pembelaannya, tindakan tertuduh merupakan punca kepada penyelewengan dana yang membolehkannya disalurkan ke akaun peribadinya,” ujar beliau.
Hakim selanjutnya berkata, dakwaan Najib bahawa pertuduhan terhadapnya bermotifkan politik, berjaya disangkal oleh pihak pendakwaan melalui bukti kukuh bahawa tertuduh sebenarnya telah menyalahguna kedudukan ditambah pula dengan kuasa besar yang diberikan kepadanya.
Beliau turut berkata, pembelaan tertuduh bahawa dia bertindak berdasarkan nasihat Penasihat Undang-Undang dan Kewangan seperti BNP Paribas dan Ambank.
Namun, bukti menunjukkan bahawa penasihat tersebut bergantung kepada representasi yang dibuat oleh pengurusan 1MDB dan Kementerian Kewangan yang mana kedua-duanya berada di bawah kawalan tertuduh.
“Keseluruhan mekanisme dan operasi itu sebenarnya dijalankan dan digerakkan oleh pegawai yang bertindak di bawahnya atau di bawah pengaruh Jho Low dengan restu tertuduh,” ujar beliau.
Hakim Collin menyatakan demikian dalam alasan penghakiman penuh setebal 809 muka surat bertarikh hari ini yang diperoleh pihak media menerusi laman sesawang kehakiman.
Beliau yang merupakan hakim bicara dalam kes berkenaan menyatakan demikian ketika mensabitkan Najib terhadap semua 21 pertuduhan salah guna kedudukan dan empat pertuduhan pengubahan wang haram dana 1MDB.
Pada 26 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Najib bagi empat pertuduhan menyalah guna kedudukan untuk mendapatkan RM2.3 bilion dana 1MDB.
Hakim Collin turut mengenakan denda berjumlah RM11.38 bilion bagi kesemua empat pertuduhan tersebut.
Jika gagal membayar denda, mahkamah memerintahkan bekas Perdana Menteri menjalani hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.
Beliau turut menjatuhkan hukuman penjara lima tahun masing-masing tanpa denda bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah dana yang sama.
Mahkamah bagaimanapun memerintahkan hukuman penjara 15 tahun berkuatkuasa serentak selepas bekas Perdana Menteri menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Hakim ibaratkan kesalahan Najib melebihi kemusnahan dilakukan Attila The Hun
















