Kejayaan Mah Sing menandakan pengiktirafan tahun ketiga berturut-turut sejak senarai itu diperkenalkan pada 2024.

KUALA LUMPUR – Mah Sing Group Berhad (Mah Sing) terus melakar sejarah dalam industri hartanah di negara ini apabila sekali lagi tersenarai dalam senarai berprestij Fortune Southeast Asia 500 bagi tahun 2026.

Ia merupakan kejayaan tahun ketiga berturut-turut syarikat tersebut menerima pengiktirafan berkenaan sejak ranking tersebut diperkenalkan pada 2024.

Fortune Southeast Asia 500 yang diterbitkan oleh Fortune, antara organisasi media perniagaan paling berpengaruh di dunia, menyenaraikan syarikat terbesar di Asia Tenggara berdasarkan hasil pendapatan bagi tahun kewangan terkini.

Penyenaraian Mah Sing mencerminkan keupayaan syarikat itu mengekalkan pertumbuhan, melaksanakan strategi secara konsisten serta kekal berdaya tahan dalam persekitaran pasaran yang sentiasa berubah.

Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengiktirafan tersebut merupakan satu pengesahan bermakna terhadap perjalanan pertumbuhan, daya tahan dan keupayaan syarikat mencipta nilai mampan dalam jangka panjang.

“Lebih penting lagi, ia mencerminkan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, pemegang saham, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan kepada kami selama ini.

“Penyenaraian dalam setiap edisi ranking sejak ia diperkenalkan amat menggalakkan kerana Fortune Southeast Asia 500 bukan sekadar ukuran saiz sesebuah syarikat, tetapi turut mencerminkan keupayaannya untuk terus relevan, berdaya saing dan memberi impak dalam salah satu rantau ekonomi paling dinamik di dunia,” katanya dalam satu kenyataan.

Tan Sri Leong Hoy Kum.

Bagi tahun kewangan 2025, Mah Sing mencatatkan jualan hartanah tertinggi dalam tempoh sedekad berjumlah RM2.51 bilion, disokong permintaan yang kukuh terhadap pembangunan kediamannya.

Syarikat itu turut merekodkan hasil sebanyak RM2.52 bilion dan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM382.9 juta, meningkat 13.6 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Setakat 31 Disember 2025, jualan belum dibilkan Mah Sing berjumlah RM3.24 bilion, sekali gus memberikan prospek pendapatan yang positif pada masa hadapan.

Dalam tempoh lima bulan pertama tahun 2026 pula, Mah Sing mencatatkan jualan hartanah baharu sebanyak RM978 juta, meletakkannya pada landasan tepat untuk mencapai sasaran jualan tahunan sebanyak RM2.76 bilion.

Prestasi itu disokong oleh permintaan domestik yang berterusan khususnya dalam segmen perumahan mampu milik dan pertengahan, selain pelancaran projek di lokasi strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast