PARIS – Pembukaan semula Selat Hormuz kepada laluan kapal tangki minyak Teluk secara tanpa syarat adalah langkah paling penting bagi menamatkan krisis tenaga yang dicetuskan oleh kenaikan mendadak harga minyak dan gas di seluruh dunia.
Ketua Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), Fatih Birol menegaskan, pembukaan penuh laluan perkapalan di Selat Hormuz merupakan penyelesaian utama kepada gangguan bekalan tenaga global.
“Penyelesaian paling penting kepada masalah ini ialah pembukaan sepenuhnya dan tanpa syarat Selat Hormuz kepada aktiviti perkapalan,” katanya pada sidang media pada hari Selasa.
Iran sebelum ini secara efektif menghentikan pergerakan kapal tangki melalui Selat Hormuz sebagai tindak balas terhadap serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel yang dilancarkan pada penghujung Februari.
Tindakan itu menjejaskan laluan utama penghantaran minyak dan gas dunia, sekali gus menyebabkan harga minyak mentah melonjak dengan ketara.
Perjanjian damai antara Iran dan AS bagi menamatkan konflik di Asia Barat menetapkan Selat Hormuz akan dibuka semula.
Bagaimanapun, pegawai Iran memaklumkan bayaran tol atau “fi perkhidmatan” mungkin dikenakan terhadap kapal yang melalui laluan strategik tersebut.
Birol menyambut baik perjanjian berkenaan dan menyifatkannya sebagai “berita yang amat menggembirakan” yang dijangka memberikan kelegaan kepada pasaran tenaga global.
“Krisis ini telah berlarutan hampir empat bulan,” katanya sambil mengingatkan beliau sebelum ini pernah membandingkan kesannya dengan kejutan minyak global pada era 1970-an.
Sejak krisis bermula, IEA telah menyelaras pelepasan ratusan juta tong minyak daripada stok kecemasan milik 32 negara anggotanya bagi membantu menstabilkan bekalan dan harga di pasaran antarabangsa.
Pada Mei lalu, agensi itu memaklumkan kira-kira 164 juta tong minyak daripada simpanan kecemasan telah dikeluarkan untuk mengurangkan tekanan terhadap pasaran tenaga dunia. – Agensi
















