KUALA LUMPUR – Yang mana lebih dahsyat, duduk semeja dengan DAP demi pentadbiran negeri atau berganding bahu dengan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal berbilion ringgit wang rakyat menerusi 1MDB?
Persoalan itu dibangkitkan Ketua Penerangan Keadilan Selangor yang juga Timbalan Setiausaha Agung Keadilan, Saifuddin Shafi Muhammad, susulan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi yang berulang kali menegaskan beliau enggan bekerjasama dengan DAP.
Beliau berkata, rakyat Johor dan seluruh negara berhak mengetahui mengapa sebuah parti politik yang menjadi sebahagian daripada kerajaan Perpaduan hari ini terus dijadikan sasaran.
Sedangkan terdapat isu yang jauh lebih besar melibatkan integriti, tadbir urus dan skandal kewangan yang pernah mencalar nama baik negara di peringkat antarabangsa.
Menurutnya, pemimpin politik seharusnya dinilai berdasarkan rekod dan keutamaan yang dibawa kepada rakyat, bukannya terus memainkan sentimen yang memecahbelahkan masyarakat.
“Saya mahu bertanya kepada Onn Hafiz, yang mana lebih dahsyat, duduk semeja dengan DAP demi kestabilan pentadbiran negeri atau berganding bahu dengan Jho Low yang dikaitkan dengan skandal berbilion ringgit wang rakyat?
“Adakah Onn Hafiz mahu meyakinkan rakyat bahawa bekerjasama dengan sebuah parti politik yang dipilih secara demokratik lebih buruk daripada dikaitkan dengan individu yang menjadi simbol salah satu skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara?” katanya dalam kenyataan malam ini.

Saifuddin berkata, persoalan itu juga timbul memandangkan Onn Hafiz sendiri pernah tampil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2019.
Katanya, dalam keterangannya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Onn Hafiz memaklumkan syarikatnya, Vital Spire Sdn Bhd, menerima cek berjumlah RM240,000 bagi membiayai operasi portal Malaysian Digest.
Beliau berkata, cek bertarikh 30 Januari 2015 itu digunakan untuk membiayai operasi portal berkenaan yang bertujuan menyebarkan berita alternatif dan mengekang penularan berita palsu sebelum portal tersebut ditutup sepenuhnya pada Julai 2018.
“Justeru, saya hairan apabila Onn Hafiz memilih untuk terus menyerang DAP sedangkan beliau sendiri bukan individu yang asing daripada episod berkaitan 1MDB dan SRC International yang pernah menjadi perhatian seluruh dunia.
“Rakyat tidak lagi mahu mendengar retorik politik yang sempit. Mereka mahu melihat kejujuran, integriti dan kesediaan seseorang pemimpin untuk menjawab persoalan yang melibatkan kepentingan negara,” tegasnya.
Saifuddin berkata, skandal 1MDB bukan sekadar polemik politik, sebaliknya merupakan episod hitam yang memberi kesan besar terhadap reputasi Malaysia, keyakinan pelabur serta kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau berkata, pemimpin negeri sepatutnya menumpukan perhatian kepada isu yang lebih dekat dengan rakyat seperti peluang pekerjaan, kos sara hidup, pelaburan berkualiti dan pembangunan ekonomi Johor.
“Jika Onn Hafiz benar-benar mahu bercakap soal mudarat kepada rakyat, maka ukurannya mestilah integriti dan kepentingan negara, bukannya kebencian terhadap sebuah parti politik.
“Rakyat Johor sudah cukup matang untuk menilai. Mereka tahu membezakan antara perbezaan ideologi politik dengan isu yang melibatkan kehilangan berbilion ringgit wang rakyat yang telah mencalar nama baik negara di mata dunia,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















