KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) membantah sekeras-kerasnya kenyataan Senator DAP, RA Lingeshwaran yang dilaporkan menggesa siasatan dijalankan terhadap poster pendaftaran saudara baharu (mualaf) yang dikaitkan dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Presidennya, Datuk Mohd Foad Mat Isa berkata, Pekida memandang serius tindakan yang didakwa cuba mencetuskan polemik berhubung program pembangunan mualaf dan aktiviti dakwah Islam di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, walaupun UPSI telah menjelaskan bahawa poster berkenaan tidak melalui proses kelulusan rasmi universiti sebelum diedarkan, isu tersebut tidak sepatutnya dijadikan pertikaian sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap usaha membimbing saudara baharu.
Ia kerana Islam merupakan Agama Persekutuan sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan kedudukan itu menjadi asas kepada pelaksanaan pelbagai program pembangunan Islam, pendidikan serta aktiviti dakwah yang sah di negara ini.
Malah dalam Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan turut memberi kuasa kepada negeri-negeri untuk mengawal penyebaran doktrin atau kepercayaan agama kepada orang Islam, manakala usaha dakwah kepada bukan Islam yang dilakukan secara aman dan sukarela dibenarkan di sisi undang-undang.
“Saudara baharu yang memilih Islam atas kehendak sendiri berhak menerima pendidikan, bimbingan agama, sokongan moral dan bantuan kebajikan tanpa gangguan daripada mana-mana pihak,” menurut beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau turut mempersoalkan mengapa program berkaitan mualaf dijadikan isu sehingga memberi tekanan kepada pihak universiti.
Lantaran itu, Pekida memberi amaran tegas kepada Lingeshwaran supaya jangan sesekali mencampuri urusan agama Islam, menyemai rasa kebencian dan melakukan provokasi agama semata-mata untuk meraih populariti dan millage (kepentingan) politik.
Tegasnya, sebarang program mualaf atau usaha dakwah Islam adalah sesuatu hak eksklusif umat Islam dan orang bukan Islam tidak wajar sama sekali untuk mencampuri rusan tersebut.
Malah, beliau turut menegaskan umat Islam tidak akan berdiam diri sekiranya terdapat mana-mana pihak yang cuba mengganggu, melemahkan atau mempertikaikan hak umat Islam untuk melaksanakan dakwah dan membimbing saudara baharu sebagaimana yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menegaskan Pekida akan terus mempertahankan usaha pembangunan mualaf, pendidikan Islam dan dakwah yang sah di sisi undang-undang.
Menurut Mohd Foad, Pekida akan mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan UPSI dalam masa terdekat bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai isu berkenaan serta menyatakan sokongan terhadap program yang membantu saudara baharu dan memperkukuh pembangunan Islam di universiti tersebut.
Pada masa sama, beliau turut menyeru umat Islam agar terus bersatu mempertahankan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan serta menyokong usaha dakwah dan pembangunan umat di negara ini. – MalaysiaGazette
















