KUANTAN – Lelaki yang dihanyut arus selepas terjatuh bot ketika pulang menjaring ikan bersama kawannya di Sungai Kobat, di sini ditemukan lemas.
Jasad Muhammad Firdaus Zuharsema, 26 ditemukan pihak bomba dalam keadaan terapung kira-kira jam 2.30 pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, jasadnya ditemukan kira-kira 300 meter dari tempat mangsa dikatakan jatuh.
“Sebelum itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang masuk hari kedua ditangguh sementara pada pukul 5.30 petang berikutan hujan.
“Mayat mangsa ditemukan selepas SAR bersambung semula dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, seramai 12 anggota termasuk pegawai bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan BBP Taman Tas terbabit dalam operasi itu selain 12 anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Kuantan dan Pekan.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.23 pagi kelmarin, bot dinaiki mangsa bersama seorang lagi rakan, Badrul Afiq Jaillany Zam Zam, 24 dikatakan terlanggar sebuah bongkah kayu hanyut ketika dalam perjalanan pulang ke jeti selepas menjaring ikan di sungai terbabit.
Ekoran itu, mangsa terpelanting jatuh ke sungai dan tenggelam dihanyut arus sebelum sempat diselamat rakannya itu. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Saya nampak Firdaus terkapai-kapai, tapi tak sempat capai – Rakan
















