Foto: FB Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Langkah melantik kalangan bekas tentera sebagai warden di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Besut dan Balik Pulau secara sepenuh masa berkesan dalam mengawal disiplin dan keselamatan fizikal asrama.

Perkara itu merupakan dapatan Kajian Keberkesanan Projek Rintis Perlantikan Warden Luar Sepenuh Masa Dalam Kalangan Bekas Tentera di kedua-dua MRSM berkenaan oleh Ketua Penyelidik Institut Pengajian Sosial Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Haliza Abdul Rahman.

Selain itu, kajian sama turut mendapati para ibu bapa, pentadbir sekolah dan pelajar menerima secara positif lantikan warden daripada kalangan bekas tentera berkenaan.

Kehadiran warden yang kerap dan sistematik turut meminimumkan ruang berlakunya buli dan vandalisme, manakala pelajar berasa selamat dan lebih berdisiplin dalam mematuhi waktu, kekemasan diri dan asrama, mencanai nilai hormat dan adab.

Selain itu, kajian sama turut menyimpulkan lantikan warden dalam kalangan bekas tentera mampu memperkukuh dimensi kerohanian pelajar dengan keterlibatan langsung warden dalam aktiviti keagamaan.

Dalam masa sama, langkah itu mengurangkan beban guru dengan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada kecemerlangan akademik dan bimbingan sahsiah, demikian menurut laporan tersebut.

Terdahulu, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi Facebooknya hari ini berkongsi mengenai laporan lengkap kajian tersebut setebal 191 muka surat yang diterimanya daripada Haliza.

Menurutnya, hasil dapatan juga menunjukkan penurunan drastik isu-isu yang terkait dengan masalah disiplin pelajar serta malah masalah buli sepanjang keberadaan warden terbabit hampir sifar.

Sehubungan itu, jelas beliau, berdasarkan laporan positif kajian tersebut, Majlis MARA akan melaksanakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas tentera di kesemua 58 MRSM seluruh Malaysia.

“Saya juga meminta pihak UPM bekerjasama menyediakan modul latihan kepada warden-warden baharu ini dan melanjutkan kajian untuk menangani isu BULI MENTAL secara holistik.

“Terima kasih dan penghargaan buat seluruh pasukan penyelidik IPSAS UPM atas kajian menyeluruh dan amat bermanfaat buat MARA dan MRSM,” katanya.

MARA sebelum ini memulakan projek rintis menempatkan warden bekas tentera di asrama pelajar di MRSM Besut dan Balik Pulau sebagai inisiatif penting menangani keganasan dan buli di institusi itu.

Ia adalah projek rintis enam bulan sebagai inisiatif penting menangani isu buli yang wajib dibanteras dan memutuskan rantaian ganasnya, seperti ditegaskan Asyraf Wajdi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast