Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyantuni ribuan anak tahfiz pada Himpunan Huffaz Pahang perkarangan Rumah Pahang, Yayasan Pahang malam tadi.

KUANTAN – Hasrat menubuhkan Majlis Tahfiz Negara menjadi realiti apabila Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kelulusannya malam tadi. 

Ujarnya, langkah berkenaan sebagai usaha besar untuk memperkasa pendidikan tahfiz serta memastikan golongan huffaz mendapat pengiktirafan lebih meluas dalam sistem pendidikan dan pembangunan negara.

Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi hadir pada Majlis Pelancaran Himpunan Huffaz Pahang

Menurut beliau, penubuhan majlis tersebut telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada mesyuarat Kabinet minggu lalu selain beliau sendiri diberikan amanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempengerusikannya.

“Ini bukan sekadar penubuhan sebuah majlis tetapi satu komitmen besar kerajaan untuk memastikan pendidikan tahfiz terus relevan dan mempunyai laluan yang jelas dalam pembangunan negara.

“Kita mahu anak-anak tahfiz bukan sahaja diraikan kerana kemampuan menghafaz al-Quran tetapi diberikan pengiktirafan dalam sistem pendidikan, kemahiran dan kerjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Huffaz Negeri Pahang 2026 di Kompleks Yayasan Pahang di sini hari ini.

Program tersebut menghimpunkan lebih 5,000 huffaz dari seluruh negeri itu menjadi pentas penting bagi kerajaan memperkenalkan agenda baharu pembangunan modal insan berteraskan al-Quran.

Hadir sama Menteri Bedar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pimpinan kerajaan negeri.

Ahmad Zahid mahu melihat lepasan tahfiz mampu melangkah lebih jauh dari madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran profesional dan daripada institusi tahfiz ke pelbagai sektor pekerjaan.

Lebih 5,000 huffaz dari seluruh negeri Pahang berhimpun pada majlis tersebut

Penubuhan tersebut selaras dengan  Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 sebagai satu langkah besar bagi menyelaras hala tuju, model pendidikan, standard pengiktirafan dan laluan akademik pelajar tahfiz di seluruh negara.

“Saya mahu pendidikan tahfiz dilihat sebagai laluan yang luas. Mereka bukan sahaja perlu diraikan dalam majlis tetapi mesti diiktiraf dalam sistem.

“Saya mahu anak- anak tahfiz mampu bergerak daripada madrasah ke universiti, daripada hafazan kepada kemahiran dan daripada institusi tahfiz ke dunia profesional dengan keyakinan, kelayakan dan masa depan yang lebih terbuka.

“Saya mahu anak tahfiz mampu jadi Perdana Menteri. Impian saya terlalu besar untuk melihat huffaz di seluruh negara berjaya dalam urusan duniawi dan ukhrawi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyifatkan Pahang sebagai negeri yang beruntung kerana mempunyai Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah  sangat prihatin yang banyak membangunkan industri tahfiz di negeri ini.

Malah melalui kepimpinan Menteri Besar Pahang dan Exco kerajaan negeri juga dilihat menyokong serta  memberi komitmen terhadap perkembangan pusat pengajian tahfiz di Pahang.

“Pahang membuktikan bahawa pendidikan tahfiz boleh dibangunkan bukan secara terpisah tetapi sebagai satu laluan ilmu yang lengkap.

“Bermula daripada peringkat awal kanak-kanak, disambung ke sekolah rendah, diperkukuh melalui maahad tahfiz, diperluas kepada pengajian turath dan akhirnya dibuka ke pentas antarabangsa.

Katanya, usaha menyemai kecintaan kepada Al-Quran sejak usia awal telah pun diterjemahkan di Pahang melalui ilham Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menerusi Tadika Tahfiz Negeri Pahang.

Daripada asas awal inilah, Pahang membina laluan tahfiz yang lebih tersusun, berperingkat dan memberi makna besar kepada masa depan anak-anak huffaz. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast