Foto: Ihsan Bomba

MELAKA – Dua penghuni termasuk warga emas melecur manakala seorang lagi sesak nafas dalam kebakaran di sebuah rumah disewa yang didiami enam warga tempatan di Taman Perkota Hang Tuah, Bukit Baru di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.38 pagi itu, tiga lagi penghuni berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan di rumah teres dua tingkat yang disewa enam mangsa mengikut bilik itu.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dibantu BBP Bukit Katil dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba didapati rumah berkeluasan kira-kira 20×70 kaki persegi sedang terbakar kira-kira 80 peratus sebelum api berjaya dikawal pada pukul 3.57 pagi.

“Terdapat enam penghuni ketika kejadian melibatkan dua mangsa yang melecur iaitu seorang wanita berusia 22 tahun dan lelaki warga emas berusia 63 tahun.

“Seorang lelaki berusia 26 tahun pula mengalami sesak nafas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Melaka menggunakan Unit Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Tiga lagi mangsa lain terdiri daripada seorang wanita dan dua lelaki kesemuanya berusia 40-an berjaya keluar menyelamatkan diri tanpa mengalami kecederaan.

“Operasi membabitkan 15 anggota bomba dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan dua EMRS dari BBP Ayer Keroh serta BBP Bukit Katil,” katanya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast