Steven Sim

MELAKA – Hampir RM100 juta pembiayaan telah diluluskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) kepada lebih 4,300 usahawan di Melaka setakat 31 Mei 2026.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong berkata, Kuskop juga meluluskan pembiayaan berjumlah RM5 bilion di peringkat nasional setakat lima bulan pertama tahun ini, sekali gus memberi manfaat kepada hampir 180,000 usahawan di seluruh negara.

Menerusi inisiatif PowerUp10K, Kuskop menyasarkan penyaluran pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di seluruh negara pada tahun ini.

Menurutnya, pembiayaan perlu terus disalurkan kepada usahawan bagi memastikan lebih banyak perniagaan dapat berkembang, sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

“Melalui pembiayaan, kita membantu perniagaan rakyat Malaysia. Apabila perniagaan berkembang, manfaatnya bukan hanya dirasai oleh pemilik perniagaan, tetapi juga oleh pekerja, pembekal, dan komuniti setempat.

“Wang yang disalurkan kepada usahawan akan terus beredar dalam ekonomi negara. Sebab itu, kita mahu melihat lebih banyak pembiayaan sampai ke pasaran dan membantu menghebatkan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau kini sedang mengadakan lawatan kerja selama tiga hari ke Melaka hingga 21 Jun 2026 bagi menyantuni usahawan dan peniaga tempatan, serta meninjau pelaksanaan pelbagai inisiatif di bawah Kuskop sempena Karnival Hebatkan Perniagaan Malaysia (KHPM) anjuran kementerian ini.

Dalam program tersebut, beliau turut menyampaikan hampir RM1 juta pembiayaan kepada 18 usahawan yang layak melalui TEKUN Nasional dan SME Corp. Malaysia.

Selain itu, sembilan agensi di bawah KUSKOP hadir menyediakan pelbagai khidmat nasihat dan perkhidmatan sokongan keusahawanan.

Penerima pembiayaan terdiri daripada pelbagai sektor perniagaan termasuk makanan dan minuman, pemborongan, perkhidmatan profesional, kontraktor pembinaan, peruncitan, perniagaan dalam talian, automotif, dan perkhidmatan.

Dalam ucapannya, beliau berkata, kepelbagaian kaum, bahasa, dan budaya di Malaysia turut menjadi kelebihan penting dari segi bakat dan ekonomi.

“Inilah antara faktor yang menjadikan Malaysia sebuah negara yang menarik kepada pelabur dan membolehkan perniagaan tempatan berkembang ke pasaran yang lebih luas,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast