KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) membidas sikap sestengah pihak yang dilihat tidak konsisten apabila membincangkan isu sifat negara Malaysia dan isu penyebaran agama kepada orang Islam.
Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, dalam perbahasan mengenai sama ada Malaysia sebuah negara sekular, pihak terbabit sering mengetepikan teks Perlembagaan Persekutuan sebagai sumber undang-undang tertinggi, sebaliknya memilih untuk merujuk kepada dokumen sejarah seperti Constitutional Proposals for the Federation of Malaya atau White Paper 1957.
Menurutnya, hujah pihak terbabit menunjukkan dokumen tersebut merupakan travaux préparatoires yang boleh membantu memahami niat penggubal Perlembagaan.
“Mereka menekankan laporan tersebut menyatakan pengisytiharan Islam sebagai agama Persekutuan tidak menjadikan negara ini sebuah negara teokratik.
“Apabila timbul isu larangan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam, pendekatan yang sama tidak lagi digunakan.
“Sedangkan White Paper yang sama dan lebih penting lagi teks Perlembagaan Persekutuan sendiri dengan jelas memperuntukkan bahawa kebebasan beragama di bawah Perkara 11 bukanlah suatu hak mutlak,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Beliau berkata, menerusi Perkara 11(4) secara khusus memperuntukkan undang-undang negeri dan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, undang-undang Persekutuan, boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama dalam kalangan orang yang menganuti agama Islam.
“Ini menunjukkan Perlembagaan sendiri telah mewujudkan satu keseimbangan antara kebebasan beragama dengan keperluan memelihara kedudukan Islam.
“Apabila ada pihak mendakwa sekatan terhadap penyebaran agama kepada orang Islam adalah tidak selaras dengan Perlembagaan, mereka sebenarnya mengabaikan teks yang jelas dalam Perkara 11(4).
“Lebih menarik, jika mereka berpendapat White Paper dan dokumen-dokumen sejarah seperti travaux préparatoires adalah penting untuk mentafsir Perlembagaan dalam isu sifat negara, maka mereka juga sepatutnya bersikap konsisten dengan merujuk kepada sumber yang sama apabila membincangkan skop kebebasan beragama,” jelasnya.
Zainul Rijal menambah, tidak boleh berlaku keadaan di mana White Paper dianggap autoritatif apabila ia menyokong naratif ‘Malaysia negara sekular’, tetapi diketepikan apabila ia memperkukuhkan kedudukan Islam dan hak negeri-negeri mengawal penyebaran agama kepada orang Islam.
“Pendekatan sedemikian merupakan contoh selective originalism atau tafsiran sejarah yang bersifat pilih kasih, sedangkan prinsip undang-undang menuntut konsistensi metodologi.
“Sama ada seseorang mahu berpegang kepada teks Perlembagaan sebagai sumber utama (textualism) atau mahu merujuk kepada niat penggubal melalui dokumen sejarah (originalism), pendekatan tersebut hendaklah diterapkan secara konsisten dan bukannya dipilih mengikut hasil yang dikehendaki.
“Jika teks Perlembagaan dianggap muktamad, maka Perkara 11(4) tidak boleh diabaikan. Tidak boleh ada dwistandard dalam metodologi tafsiran; seseorang tidak boleh menjadi originalist apabila membicarakan sifat negara, tetapi tiba-tiba menjadi living constitutionalist apabila berdepan dengan kedudukan Islam dan sekatan penyebaran agama kepada orang Islam,” katanya lagi.
Jelas Zainul Rijal, hakikatnya dalam hierarki undang-undang, White Paper bukanlah undang-undang tertinggi tetapi hanya bahan bantuan tafsiran.
“Yang mempunyai kuasa undang-undang ialah Perlembagaan Persekutuan, dan Perlembagaan itu sendiri melalui Perkara 3(1) mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, manakala Perkara 11(4) mengiktiraf kuasa untuk mengawal penyebaran agama kepada orang Islam.
“Oleh itu, sesiapa yang ingin berhujah berasaskan semangat asal penggubal Perlembagaan hendaklah menerima keseluruhan kerangka kompromi perlembagaan yang dipersetujui, bukannya memetik sebahagian yang menguntungkan hujah mereka sambil menolak bahagian lain,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pendekatan yang konsisten dalam ilmu perlembagaan menetapkan teks Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi menurut Perkara 4(1), manakala White Paper dan dokumen sejarah hanyalah alat bantuan tafsiran dan bukannya sumber yang mengatasi teks.
“Kebebasan beragama di bawah Perkara 11 pula tertakluk kepada Perkara 11(4) yang membenarkan pengawalan penyebaran agama kepada orang Islam.
“Adalah tidak wajar menggunakan White Paper untuk membuktikan Malaysia negara sekular tetapi menolak White Paper dan Perlembagaan apabila membincangkan batas penyebaran agama.
“Kaedah tafsiran yang berubah-ubah mengikut kesimpulan yang dikehendaki bukanlah pendekatan perundangan yang objektif, tetapi suatu bentuk cherry–picking yang merosakkan integriti perbahasan perlembagaan,” tambahnya lagi.
Katanya, jika White Paper dianggap penting untuk menentukan identiti negara, maka ia juga mesti diterima apabila menjelaskan kompromi mengenai kebebasan beragama. – MalaysiaGazette















