Akmal Nasrullah Mohd Nasir

KUALA LUMPUR – Gangguan perdagangan akibat konflik di Selat Hormuz dijangka meningkatkan kos pengeluaran makanan negara apabila harga baja dan makanan ternakan menunjukkan trend kenaikan yang ketara.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia masih bergantung kepada import bagi 63 peratus keperluan baja menyebabkan sektor pertanian terdedah kepada ketidaktentuan rantaian bekalan global.

“Berdasarkan penilaian semasa, kos baja diunjurkan meningkat antara 15 hingga 20 peratus manakala kos makanan ternakan meningkat sekitar lapan peratus,” katanya ketika sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (Betong-GPS) meminta Menteri Ekonomi menyatakan penilaian impak ekonomi terkini akibat gangguan perdagangan di Selat Hormuz terhadap kos operasi industri tempatan.

Akmal juga berkata, peningkatan tersebut berpotensi memberi tekanan kepada kos pengeluaran makanan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

“Selain sektor pertanian, antara industri yang paling terkesan ialah logistik, pembuatan, kimia, plastik, pembungkusan, farmaseutikal dan elektrik serta elektronik (E&E),” katanya.

Menurut Akmal, kos penghantaran global kini meningkat hampir dua kali ganda manakala premium insurans kapal dagang bagi laluan berisiko melonjak sehingga 16 kali ganda bagi satu perjalanan.

“Bagaimanapun, kerajaan telah menggerakkan pelbagai langkah bagi mengelakkan peningkatan kos global dipindahkan secara langsung kepada pengguna.

“Antaranya melalui pemantauan harga harian, penguatkuasaan anti pencatutan serta pelaksanaan program Jualan Rahmah dan Agro MADANI,” katanya.

Selain itu, jelas Akmal, kerajaan juga melaksanakan empat kluster tindakan utama bagi mengurangkan kesan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan perdagangan melalui Selat Hormuz.

“Keutamaan kerajaan adalah melindungi rakyat, memastikan bekalan asas kekal stabil, membantu industri terus beroperasi dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara.

Jelasnya, kluster pertama memberi tumpuan kepada perlindungan rakyat melalui pelbagai bantuan dan subsidi bersasar termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA), BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

“Kluster kedua pula memberi fokus kepada penstabilan bekalan dan harga melalui pemantauan harian, kerjasama dengan PETRONAS serta penguatkuasaan anti pencatutan dan antipenyeludupan,” katanya.

Selain itu kerajaan turut memperkenalkan semula mekanisme Bekerja Dari Rumah (BDR) bagi penjawat awam sejak 15 April lalu untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan kos perjalanan.

“Kerajaan turut menyediakan Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS bernilai RM5 bilion dan tambahan dana jaminan pembiayaan SJPP sebanyak RM5 bilion bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana menghadapi tekanan kos operasi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast