Ammar Atan

KUALA LUMPUR – Dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan hanya mengembalikan RM2 bilion hingga RM3 bilion kepada Johor tidak menggambarkan keadaan sebenar apatah lagi tidak dianak-tirikan.

Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Harapan, Ammar Atan mendakwa, rekod menunjukkan Johor kekal sebagai antara negeri yang paling pesat membangun di Malaysia, dengan kedudukan sebagai pengeksport kedua terbesar negara pada tahun 2025 dan penerima pelaburan diluluskan terbesar dalam sejarah negara pada tahun yang sama.

Bahkan, Kerajaan Persekutuan terus melabur secara langsung dalam pembangunan infrastruktur awam di Johor, merangkumi sekolah, hospital, jalan raya dan kemudahan asas yang lain.

Projek besar seperti Sistem RTS dan Landasan Berkembar Elektrik Gemas–Johor Bahru turut didana sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan.

“Angka ini juga belum mengambil kira kos penyelenggaraan berterusan yang dibiayai menerusi peruntukan persekutuan, termasuk gaji guru, anggota agensi persekutuan, anggota polis dan tentera yang berkhidmat di Johor.

“Jumlah keseluruhan sumbangan persekutuan kepada Johor jauh melebihi angka RM2 hingga RM3 bilion yang disebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ammar berkata, pada Disember 2025, sempena satu majlis yang turut dihadiri oleh Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyatakan Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan RM11.43 bilion pada tahun 2025 bagi projek pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur awam di Johor.

Pada tahun 2024 pula, Menteri Besar Johor sendiri telah merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kelulusan 510 projek di Johor bernilai RM4.7 bilion.

“Rekod ini menunjukkan dengan jelas komitmen berterusan Kerajaan Persekutuan Madani terhadap pembangunan Johor merentasi pelbagai sektor, termasuk inisiatif strategik seperti Johor-Singapore Special Economic Zone yang membuka peluang ekonomi baharu untuk rakyat Johor.

“Jika benar timbul persoalan bahawa Johor tidak menerima pulangan yang setimpal selama ini, maka adalah tidak wajar untuk meletakkan tanggungjawab tersebut kepada Kerajaan Madani yang belum pun menamatkan satu penggal pentadbiran,” tambah beliau.

Hakikatnya, parti yang memimpin Kerajaan Negeri Johor hari ini telah menerajui Johor dan Kerajaan Persekutuan untuk sebahagian besar tempoh sejak merdeka.

Namun begitu, dalam tempoh singkat pentadbiran Madani, Johor telah muncul sebagai penerima pelaburan diluluskan terbesar negara serta menerima peruntukan pembangunan dan pelaburan infrastruktur yang signifikan daripada Kerajaan Persekutuan.

Jelas beliau, kerajaan Madani sentiasa komited menjaga kebajikan seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira negeri atau pentadbiran negeri yang memerintah, dan akan terus mempertingkatkan ketelusan serta keberkesanan pentadbiran demi kepentingan rakyat.

“Kerajaan Persekutuan menghargai hubungan baik dan kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Johor, dan yakin hubungan ini akan terus diperkukuhkan demi kesejahteraan dan kemajuan rakyat Johor,” ujar beliau lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast