KUALA LUMPUR – Meskipun menyifatkan keputusan kerajaan menurunkan harga diesel bersubsidi sebagai langkah tepat, namun Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan mengapa langkah itu tidak dilaksanakan lebih awal.
Menurutnya, pada Jun 2024, kerajaan menaikkan harga diesel di Semenanjung daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter dengan alasan rasionalisasi subsidi dan keperluan mengekang ketirisan.
Ketika itu, ujarnya, harga minyak mentah Brent berada pada purata sekitar AS$82 setong.
“Hari ini, harga Brent juga berada sekitar AS$80–AS$82 setong, tetapi kerajaan mampu pula menurunkan harga diesel bersubsidi.
“Jika harga minyak dunia berada pada lingkungan yang hampir sama, apakah sebenarnya faktor yang berubah?” katanya menerusi Facebook hari ini.
Disebabkan itu, tambah Ahli Parlimen Pasir Mas berkenaan, beliau pada 10 Jun 2024 menyifatkan kenaikan diesel ketika itu sebagai satu tindakan yang `maha’ terkutuk kerana kesannya dirasai terus oleh rakyat, peniaga kecil, petani, nelayan dan sektor pengangkutan.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan jika alasan utama pada waktu itu ialah untuk mengelakkan kebocoran dan penyalahgunaan subsidi, mengapa mekanisme pengesahan menggunakan kad pengenalan seperti yang dilaksanakan hari ini tidak diperkenalkan sejak awal.
“Adakah kerajaan ketika itu tidak mempunyai pilihan lain, atau kerajaan baru sekarang terfikir bahawa terdapat kaedah yang lebih baik untuk menyasarkan subsidi tanpa menghukum majoriti rakyat terlebih dahulu?” katanya.
Tambahnya, ketika membangkitkan perkara itu pada tahun 2024, pembangkang dituduh tidak memahami ekonomi dan kononnya tidak memahami keperluan subsidi bersasar.
Namun, ujarnya, perkembangan hari ini menunjukkan bahawa terdapat pilihan dasar lain yang boleh dipertimbangkan.
Oleh itu, katanya, rakyat berhak bertanya sama ada Malaysia sedang ditadbir oleh sebuah kerajaan yang mempunyai dasar yang konsisten dan berpandangan jauh, atau sebuah kerajaan yang sering mengubah pendekatan mengikut keadaan semasa.
“Jika pada paras harga minyak dunia yang hampir sama kerajaan boleh membuat keputusan yang berbeza, maka yang berbeza hanyalah waktunya; dulu masih jauh dengan pilihan raya, sekarang pilihan raya sudah hampir, itu sahaja,” katanya. – MalaysiaGazette
















