KUALA LUMPUR – Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Universiti Malaya (UM) hari ini memeterai Perjanjian Bekalan Tenaga Penyejukan (Cooling Energy Supply Agreement – CESA) bagi memodenkan infrastruktur penyejukan di Wisma R&D UM.
Kerjasama itu menjadi langkah penting dalam menyokong pembangunan kampus yang lebih lestari, juga memperkukuh usaha ke arah kecekapan tenaga dalam sektor pengajian tinggi negara.
Perjanjian itu dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh TNB, TNB Engineering Corporation Sdn. Bhd. (TNEC), yang menyediakan solusi kejuruteraan dan infrastruktur tenaga.
TNB dalam satu kenyaatan berkata, melalui perjanjian CESA itu, TNEC akan membekalkan tenaga penyejukan kepada Wisma R&D UM daripada loji Sistem Penyejukan Daerah (District Cooling System – DCS) TNEC di Jalan Pantai Baharu, Kuala Lumpur.
Menurutnya, bekalan tenaga penyejukan itu akan dilaksanakan di bawah konsesi selama 20 tahun.
“Projek berkenaan dijangka dapat mengurangkan kos berkaitan penyejukan sebanyak kira-kira 30 peratus, bersamaan penjimatan sekitar RM7.59 juta sepanjang tempoh konsesi.
“Tenaga penyejukan daripada loji DCS TNEC itu membolehkan Wisma R&D menikmati sistem yang lebih stabil dan berdaya harap, prestasi tenaga yang lebih baik dan operasi yang lebih cekap berbanding sistem penyejukan konvensional secara berasingan,” katanya.
Pertukaran dokumen perjanjian berkenaan disempurnakan oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Ts. Shamsul Ahmad dan Naib Canselor UM, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid dan Pengerusi UM, Tan Sri Zarinah Anwar.
Menurutnya, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama TNB dan UM dalam meningkatkan kecekapan operasi, juga menyokong matlamat kelestarian serta penggunaan penyelesaian tenaga yang lebih inovatif.
Sementara itu, Shamsul dalam kenyataan sama berkata, kerjasama strategik itu membuktikan keupayaan TNB dalam menyediakan solusi penyejukan yang stabil dan berdaya harap, malah berkesan dari segi kos dan sesuai untuk keperluan infrastruktur moden.
“Perjanjian ini menunjukkan peranan sistem penyejukan daerah yang semakin penting sebagai penyelesaian infrastruktur bandar yang cekap.
“Ia membantu mengoptimumkan penggunaan tenaga dan menyokong kelestarian alam sekitar.
“Kami berharap kerjasama dengan UM ini dapat diperkukuh, sekali gus menyokong aspirasi UM untuk membangunkan ekosistem kampus yang lebih lestari dan bersedia untuk masa depan,” katanya.

Sementara itu, Noor Azuan berkata, perjanjian tersebut merupakan langkah penting dalam usaha UM memodenkan infrastruktur kampus dan memperkukuh agenda kelestariannya.
“Kerjasama ini mencerminkan komitmen UM dalam menerima pakai penyelesaian yang inovatif dan lestari.
“Ia bukan sahaja menambah baik persekitaran kampus, malah membantu mengoptimumkan penggunaan sumber.
“Ini selaras dengan aspirasi UM sebagai universiti penyelidikan terkemuka yang komited terhadap penjagaan alam sekitar dan pembangunan lestari,” katanya. – MalaysiaGazette
















