Presiden Parti Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir

KUALA LUMPUR – Penyertaan Parti Pejuang Tanahair (Pejuang) ke dalam Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai permulaan kepada penyatuan kekuatan politik yang lebih besar bagi berdepan cabaran negara serta menawarkan alternatif kepimpinan kepada rakyat.

Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kemasukan parti itu ke dalam PN bukan sekadar melibatkan penyertaan sebuah parti politik dalam gabungan pembangkang, sebaliknya membawa agenda lebih besar untuk memperkukuhkan perpaduan dan kestabilan negara.

Menurut beliau, negara ketika ini berdepan pelbagai cabaran merangkumi aspek ekonomi, sosial, keselamatan dan politik yang memerlukan kerjasama lebih erat antara parti-parti yang mempunyai matlamat perjuangan yang sama.

“Hari ini bukan sekadar penyertaan sebuah parti ke dalam sebuah gabungan politik. Sebaliknya, ia adalah permulaan kepada penyatuan kekuatan yang lebih besar demi menyelamatkan negara daripada perpecahan, ketidakstabilan dan kegagalan kepimpinan yang semakin meresahkan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mukhriz berkata, Pejuang menyambut baik keputusan PN menerima parti itu sebagai salah satu komponen gabungan tersebut, selaras dengan usaha memperkukuhkan kesatuan politik Melayu dan umat Islam.

Beliau menegaskan, Pejuang berpendirian bahawa kepentingan agama, bangsa dan negara perlu sentiasa mengatasi kepentingan individu atau parti, selain menganggap perbezaan pandangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada pembentukan saf perjuangan yang lebih besar.

Katanya, penyertaan dalam PN juga selari dengan aspirasi Pejuang untuk membina kekuatan politik yang mampu menawarkan kepimpinan lebih berwibawa serta diyakini rakyat.

Dalam masa sama, beliau memberi jaminan Pejuang akan terus berpegang kepada prinsip integriti, keadilan dan tadbir urus yang baik dalam memperjuangkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat.

“Semoga langkah ini menjadi titik permulaan kepada usaha yang lebih besar dalam menyatukan kekuatan umat dan membina Malaysia yang lebih stabil, selamat dan makmur,” katanya.

Terdahulu, gabungan PN menerima kemasukan Pejuang dan Parti Wawasan Negera (Wawasan) sebagai parti komponen baharu, sekali gus dilihat sebagai usaha memperluaskan pengaruh gabungan itu menjelang beberapa pilihan raya yang bakal berlangsung dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast