KUALA LUMPUR – Dokumen rasmi permohonan Parti Cinta Malaysia (PCM) untuk menyertai Perikatan Nasional (PN) didapati telah ditandatangani oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah sedangkan status pertukaran nama parti itu kepada Parti Wawasan Negara, masih belum diluluskan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).

Surat bertarikh 20 Jun yang dilihat MalaysiaGazette itu dihantar kepada Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bagi memohon PCM diterima sebagai anggota gabungan berkenaan.

Dalam surat tersebut, Saifuddin menandatangani dokumen berkenaan atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PCM, selain memaklumkan bahawa Mesyuarat Khas Perwakilan (EGM) parti itu telah meluluskan cadangan menukar nama PCM kepada Parti Wawasan Negara.

Bagaimanapun, surat sama turut mengakui proses pertukaran nama itu masih dalam peringkat mendapatkan pengesahan daripada RoS dan belum dimuktamadkan.

Dokumen berkenaan turut memaklumkan bahawa EGM tersebut telah memilih dan melantik barisan kepimpinan baharu parti selain mendakwa PCM mempunyai kira-kira 120,000 ahli di 153 bahagian di seluruh negara.

Isu itu menjadi perhatian selepas Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempersoalkan kesahihan permohonan tersebut dengan mendakwa Saifuddin bukan Setiausaha Agung PCM bagi sesi 2026-2027.

Menurut beliau, berdasarkan semakan yang dilakukan Bersatu, jawatan Setiausaha Agung PCM ketika ini disandang oleh Yeo Kwee Kwang, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kapasiti Saifuddin menandatangani permohonan berkenaan.

Ahmad Faizal berkata, perkara itu turut dibangkitkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN kerana melibatkan status kepimpinan parti serta kesahihan dokumen yang digunakan untuk menyokong kemasukan PCM ke dalam gabungan tersebut.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh JPPM,” katanya.

Kontroversi itu tercetus hanya sehari selepas Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar mengumumkan penerimaan PCM dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sebagai anggota baharu gabungan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Pengarah JPPM, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad sebelum ini dilaporkan berkata jabatan itu belum menerima sebarang permohonan rasmi bagi penubuhan sebuah parti politik baharu menggunakan nama Parti Wawasan Negara.

Beliau turut dilaporkan memaklumkan bahawa ketika kenyataan itu dikeluarkan, JPPM juga belum menerima permohonan rasmi daripada PCM bagi tujuan pertukaran nama parti tersebut, sekali gus menimbulkan lebih banyak persoalan mengenai status sebenar Parti Wawasan Negara yang kini dikaitkan dengan kemasukan PCM ke dalam PN. – MalaysiaGazette

Bersatu bantah kemasukan PCM, dakwa PN langgar prosedur

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast