Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional , Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mesyuarat Tergempar Perikatan Nasional Bagi Membincangkan Isu Keanggotaan Parti Dalam Gabungan di Pejabat Agong PAS, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2026.
Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional , Tan Sri Muhyiddin Yassin hadir ke Mesyuarat Tergempar Perikatan Nasional Bagi Membincangkan Isu Keanggotaan Parti Dalam Gabungan di Pejabat Agong PAS, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) membantah keras tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar yang didakwa memaksa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN menerima kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) secara tergesa-gesa meskipun pelbagai isu undang-undang dan pentadbiran masih belum diselesaikan.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, keputusan itu dibuat ketika PN sendiri sedang berdepan krisis dalaman susulan tindakan Pas memutuskan hubungan dengan Bersatu di beberapa negeri, sekali gus menimbulkan persoalan mengapa gabungan tersebut mahu menambah parti baharu dalam keadaan hubungan sesama anggota masih bergolak.

Menurut beliau, wakil Bersatu dalam mesyuarat berkenaan membantah kemasukan PCM kerana permohonannya didakwa tidak teratur dan mengandungi beberapa percanggahan yang belum diperjelaskan.

Katanya, permohonan penyertaan ke dalam PN dikemukakan oleh Datuk Seri Saifuddin Abdullah atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung PCM, sedangkan semakan rasmi mendapati jawatan tersebut bagi sesi 2026-2027 disandang oleh Yeo Kwee Kwang.

Lebih mengelirukan, katanya, dokumen kepimpinan yang dikemukakan menggunakan nama Parti Wawasan Negara sedangkan permohonan dibuat atas nama Parti Cinta Malaysia.

“Berdasarkan semakan kami setakat semalam, perubahan barisan kepimpinan dan perubahan nama Parti Cinta Malaysia kepada Parti Wawasan Negara belum diluluskan oleh JPPM.

“Menggunakan nama parti yang tidak diluluskan oleh JPPM adalah satu kesalahan di bawah Akta Pertubuhan 1966,” katanya dalam kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN

https://malaysiagazette.com/2026/06/23/wawasan-negara-bakal-jadi-nilai-tambah-kepada-pn-hamzah/

Dalam perkembangan sama, Ahmad Faizal berkata, wakil Bersatu turut membangkitkan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) bertarikh 22 Jun lalu yang memaklumkan beberapa dokumen dikemukakan Setiausaha Agung PN kepada jabatan itu didapati tidak lengkap selain tidak ditandatangani.

Beliau berkata, berdasarkan Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1966, RoS telah mengarahkan PN mengemukakan maklumat tambahan dalam tempoh tujuh hari dan berhak menangguhkan pertimbangan terhadap rekod barisan kepimpinan Majlis Tertinggi PN sehingga semua isu berbangkit diselesaikan.

“Wakil-wakil Bersatu telah membangkitkan perkara ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Tergempar Perikatan Nasional malam tadi dan berpendirian mesyuarat mesti ditangguhkan berdasarkan maklum balas JPPM yang jelas menerangkan maksudnya.

“Namun, mesyuarat diteruskan juga dan ia berkemungkinan bertentangan dengan kehendak JPPM untuk memastikan segala urusan pentadbiran dan pengurusan parti dilaksanakan selaras dengan peruntukan Perlembagaan PN dan Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, wakil Bersatu yang diketuai Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membentangkan kerusi-kerusi tumpuan parti itu dan menegaskan semua calon Bersatu akan menggunakan logo PN, pendirian yang turut dipersetujui Ahmad Samsuri.

“Sehubungan itu, Bersatu akan mengemukakan senarai kerusi DUN Johor yang akan ditandingi oleh Bersatu untuk penyediaan watikah dan surat kebenaran menggunakan simbol Perikatan Nasional,” katanya.

Semalam, Ahmad Samsuri mengumumkan PN menerima penyertaan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan PCM sebagai anggota baharu gabungan itu selepas mesyuarat yang turut dihadiri wakil Pas, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast