Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang giat menyiapkan termasuk membina 2,596 bilik darjah baharu bagi menghadapi kemasukan dua kohort murid tahun satu pada 2027.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata, usaha turut membabitkan pengambilan 3,150 guru secara kontrak perkhidmatan (COS) berdasarkan jumlah pendaftaran semasa.

Menurutnya, sehingga kini, KPM menerima 73,386 permohonan pendaftaran tahun satu bagi kanak-kanak usia enam tahun untuk sesi persekolahan 2027 manakala jumlah kanak-kanak umur tujuh tahun adalah seramai 405,033 orang.

“Jumlah keseluruhan 478,419 permohonan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 12.07 peratus berbanding enrolmen tahun satu 2026 yang hanya melibatkan kohort umur tujuh tahun.

“Justeru, KPM melaksanakan pelbagai langkah bagi persiapan (antaranya) bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) modular melibatkan 838 sekolah, dan projek-projek ini akan disiapkan pada tahun ini juga,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) yang ingin tahu sejauh mana persiapan KPM dalam menerima kemasukan murid usia enam tahun ke tahun satu pada 2027 dan kaedah yang diguna pakai bagi memastikan guru-guru tidak terbeban dengan kemasukan tambahan itu.

Menjawab soalan tambahan Jalaluddin mengenai penyelarasan antara prasekolah dan tadika serta tahap kesiapsiagaan murid daripada latar belakang pendidikan awal yang berbeza, Kah Woh berkata, ibu bapa diberi pilihan untuk menentukan kesediaan anak masing-masing sama ada memasuki kohort usia enam tahun atau kekal dalam kohort umur tujuh tahun.

Beliau berkata, KPM turut memperluas akses pendidikan prasekolah dengan menambah 350 kelas prasekolah pada tahun ini berbanding kira-kira 150 kelas setiap tahun sebelum ini, bagi memastikan akses terutamanya untuk golongan B40 yang tidak mampu masuk ke tadika swasta.

Pada masa sama, KPM juga meneliti implikasi terhadap kelangsungan operasi tadika swasta susulan kehilangan satu kohort murid, selain memastikan sesi libat urus diteruskan dengan pihak berkepentingan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Idris Ahmad (Bagan Serai-PN)) mengenai latihan guru untuk mengendalikan murid kohort usia enam tahun serta unjuran kekurangan guru mengikut negeri, Kah Woh berkata, KPM mempunyai unjuran lima tahun berkaitan keperluan guru pada peringkat kebangsaan dan negeri.

Beliau berkata, selain guru COS, KPM juga akan melantik sebahagian calon simpanan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memenuhi keperluan semasa, selain memperkukuh latihan profesion berkenaan terutama sebagai persediaan menerima murid kohort usia enam tahun ke tahun satu.

“Pada masa yang sama kita akan memanfaatkan sebanyak mungkin program transisi tahun satu bagi menyokong penyesuaian murid serta memastikan kurikulum persekolahan 2027 yang kita akan laksanakan tahun depan ini disesuaikan dengan tahap perkembangan dan juga keperluan murid di sekolah masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast