Tan Sri Annuar Musa ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Yang Mewakili Perikatan Nasional Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di Muar, malam tadi.

MUAR – Rakyat perlu memberi mandat kepada Pas untuk menjadi kerajaan pada pilihan raya nanti sebagai penyelesaian terhadap pelbagai masalah yang dihadapi negara.

Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-16, Tan Sri Annuar Musa berkata, ini kerana semua gabungan politik sudah menjadi kerajaan seperti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) tetapi masalah yang membelenggu rakyat dan negara masih tidak dapat diselesaikan.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) itu berkata, Pas adalah satu-satunya parti yang membawa matlamat menyeluruh dalam usaha menyelesaikan pelbagai permasalahan rakyat ketika ini, termasuk aspek kehidupan, sosial dan pentadbiran serta mengikut penyelesaian cara Islam.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat itu berkata, parti itu bukan sekadar gerakan politik, sebaliknya sebuah wadah dakwah yang menekankan pembinaan sahsiah serta tarbiah yang sudah h lama dilaksanakan, termasuk melalui penyertaan dalam proses pilihan raya.

“Sebab itulah, walaupun kita tidak bertanding sebanyak Barisan Nasional dengan 56 kerusi atau Pakatan Harapan dengan 56 kerusi, kita (Perikatan Nasional) mungkin hanya bertanding sekitar 30 kerusi, Pas sekitar 11 kerusi, tetapi ia adalah makna kita akan terus menggerakkan gelombang daripada utara ke selatan.

“Realitinya, setiap kali pilihan raya kita masih mendengar dendangan permasalahan sama, soal intergriti, ekonomi, kos sara hidup, hubungan antarabangsa, perkauman, keadilan sosial dan sebagainya. Di sinilah keazaman Pas yg menanam keyakinan jawapan dan penyelesaian adalah Islam,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Majlis Pengisytiharan Calon Pas Yang Mewakili Perikatan Nasional Bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Laman Muafakat di sini malam tadi.

Turut hadir Pengerusi PN, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

Menurut beliau, politik pada masa kini merupakan sebahagian daripada pengukuhan agama dan tidak boleh dipisahkan daripada Islam sebagai cara hidup yang lengkap.

Menurutnya, Islam menjadi asas dalam membentuk hubungan kaum, keadilan sosial, membanteras kezaliman serta membawa kemakmuran, kesejahteraan dah rahmat.

“Kita harapkan di Johor juga sayap Perikatan Nasional melalui parti Pas harus berkembang lebar semakin membesar kerana kita ada cita-cita dan harapan yang besar untuk membawa jalan penyelesaian kepada kebuntuan-kebuntuan politik yang hari ini menjadi buah mulut semua orang.

“Penyelesaian kepada segala permasalahan ini adalah dengan memberikan mandat kepada Pas,” ujarnya.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.