KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Harapan (AMH) menegaskan politik yang terlalu didominasi satu pihak sahaja hanya akan menyukarkan pembinaan persefahaman dan menjejaskan pembangunan negeri.
Pengarah Komunikasinya, Ammar Atan berkata, Johor memerlukan kestabilan politik, kepimpinan matang dan kerjasama rentas parti, bukannya persaingan yang mencetuskan perpecahan.
“Persaingan harus berlaku antara parti politik, sebagaimana ditegaskan Presiden AMANAH, perlu dijadikan panduan ketika pelbagai pihak dilihat mula mengatur percaturan politik menjelang pilihan raya.
“Johor sebenarnya lebih memerlukan kestabilan, perpaduan dan kepimpinan yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala kepentingan lain.
“Itulah asas kepada Johor yang lebih maju dan makmur,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Ammar juga mempertahankan model Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berjaya meningkatkan keyakinan pelabur dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
“Malah Kerajaan Madani berjaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan hasil daripada kestabilan politik,” katanya.
Ammar yang juga Naib Ketua Pemuda AMANAH Nasional juga memberi bayangan penguasaan politik oleh satu blok atau ideologi bukan lagi formula terbaik untuk Johor.
“Pengalaman mutakhir menunjukkan politik yang terlalu didominasi oleh satu pihak atau satu ideologi akhirnya menyukarkan pembinaan persefahaman yang lebih luas,” katanya.
Beliau menegaskan, Johor memerlukan kepimpinan yang mampu merapatkan jurang perbezaan, membina titik persamaan dan mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan politik.
“Johor memiliki potensi besar untuk muncul sebagai negeri paling maju di Malaysia.
“Namun potensi itu hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud kestabilan politik dan kerjasama yang matang,” katanya.
Ammar turut mengingatkan anak muda Johor mempunyai bakat besar yang perlu dimanfaatkan untuk pembangunan negeri.
“Ia tidak sepatutnya terus dibelenggu konflik politik berpanjangan.
“Dalam sistem demokrasi, hak menentukan kerajaan tetap berada di tangan rakyat,” katanya.
Menurutnya, pengundi perlu membuat pilihan berdasarkan rekod pentadbiran, dasar, keupayaan mentadbir serta komitmen sebenar terhadap pembangunan Johor.
“Pilihan raya adalah medan untuk rakyat menentukan masa depan Johor dengan memilih pemimpin yang berwibawa.
“Demokrasi yang matang menuntut setiap parti bersaing melalui idea, dasar dan rekod perkhidmatan.
“Biarlah rakyat yang membuat keputusan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan selain kepentingan Johor dan rakyatnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

















BN untuk Johor. Kita akan pastikan 56 kerusi DUN untuk BN. Hanya BN yang terbaik
Peluang pekerjaan kepala hotak dia. Dia tak tahu ada lbh kurang 42000 org hilang pekerjaan disebabkan kebodohan madani.