Foto IG Aisyah Hijanah.

KUALA LUMPUR – Personaliti media sosial, Aisyah Hijanah memohon maaf secara terbuka susulan kontroversi membabitkan kesilapan penulisan ayat suci al-Quran dalam naskhah buku terbaharu terbitannya.

Menerusi Instagram miliknya, Aisyah memuat naik kenyataan permohonan maaf  selepas buku berjudul Wanita Syurga menerima kritikan hebat daripada orang ramai, khususnya dalam kalangan warga maya sejak kebelakangan ini.

“Dengan penuh rasa rendah diri, saya ingin memohon maaf kepada semua pembaca, para asatizah dan seluruh masyarakat atas kesilapan penulisan ayat al-Quran yang terdapat di dalam buku terbitan saya sehingga menimbulkan kegusaran ramai.

“Saya mengakui kesilapan ini adalah tanggungjawab saya sebagai penerbit dan individu yang membawa nama pada buku ini walaupun ini merupakan hasil penulisan bersama seorang penulis ghostwriter.

“Saya sepatutnya memastikan setiap kandungan khususnya yang melibatkan ayat-ayat al-Quran disemak dengan lebih teliti sebelum diterbitkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Buku berjudul ‘Wanita Syurga’.

Sehubungan kontroversi itu, Aisyah mengambil langkah segera menghentikan sementara penjualan semua buku di bawah penerbitannya.

Buku tersebut juga ditarik daripada semua kedai serta platform jualan dalam dan luar talian.

Menurutnya lagi, satu semakan semula akan dilaksanakan terhadap kandungan buku sebelum versi baharu yang diperbetulkan diterbitkan kepada pembaca dalam bentuk digital.

“Saya juga menganggap perkara ini sebagai satu teguran daripada Allah agar saya menjadi insan lebih teliti dan bertanggungjawab dalam membawa imej agama,” ujarnya lagi.

Sebelum ini, pengguna media sosial kecoh membicarakan kesilapan dalam buku berkenaan dan menggesa ia ditarik semula daripada pasaran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast