Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu entiti dan sebuah pasukan, tegas Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

Sehubungan itu, kata beliau, niat dan matlamat pemimpin parti komponen PN mesti sama, iaitu memastikan seramai mungkin calon gabungan parti tersebut memperoleh kemenangan, bukan hanya kemenangan calon atau parti tertentu.

Ujar beliau, ini memandangkan kejayaan calon PN adalah kejayaan seluruh gabungan parti tersebut.

“Jika ada sebarang niat atau tindakan untuk menjejaskan peluang kemenangan mana-mana calon PN, maka wajarlah niat dan tindakan tersebut diperbetulkan.

“Jika tidak, akhirnya, yang akan menerima kesan ialah PN sendiri,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Sementara itu, Tun Faisal turut mengingatkan Islam mengajar supaya merapatkan saf, memperkukuhkan ukhuwah dan bekerja sebagai satu jemaah.

“Semangat inilah yang sewajarnya menjadi pegangan setiap parti anggota PN jika benar-benar setia, ikhlas dan komited terhadap PN dan jenama PN,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Bersatu sentiasa bersedia mendepani PRN Johor termasuk dengan kekuatan sukarelawan yang ada.

“Bersatu juga komited dengan lambang PN tanpa perlu didesak atau dipaksa. PN adalah jenama kita,” katanya.

Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang hari ini menegaskan, parti itu tidak akan berkempen untuk calon Bersatu pada PRN Johor yang akan membuka tirai esok, meskipun kedua-dua parti itu bertanding menggunakan logo sama iaitu PN.

Malah, menurut Abdul Hadi, Pas dan Bersatu juga akan berkempen secara berasingan sepanjang PRN tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast