Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh semasa hadir mengiringi calon bagi penyerahan borang penamaan calon sempena Pilihan Raya Negeri Johor ke-16 Dun N.09 Bukit Gambir ketika di Dewan Serbaguna Grisek, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 27 JUN 2026.

BUKIT GAMBIR – Pengundi Cina khususnya yang berada di luar negeri ini diseru menjalankan tanggungjawab sebagai pemilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, Sabtu ini.

Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, setiap rakyat Johor yang layak mengundi perlu menjalankan tanggungjawab mereka bagi memastikan kerajaan negeri yang terbentuk kelak benar-benar merupakan pilihan rakyat.

Menurutnya, beliau menyedari wujud sentimen enggan mengundi khususnya dalam kalangan masyarakat Cina disebabkan beberapa faktor.

Antaranya, ujar Syed Ibrahim, adalah faktor kerana beranggapan PRN Johor tidak akan merubah pentadbiran Kerajaan Madani di peringkat Persekutuan.

Selain itu, tambahnya, terdapat juga segelintir pengundi Cina khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH) yang berasa kecewa dengan beberapa isu dalam gabungan politik itu menyebabkan mereka memilih untuk tidak mengundi pada PRN Johor kali ini.

“Memang ini (rasa tida puas hati) adalah antara perkara yang dibangkitkan pengundi khususnya masyarakat Cina dalam siri kempen kita pada PRN Johor ini.

“Kita sendiri mengakui bahawa Kerajaan Madani bukanlah sepenuhnya sempurna dan masih banyak yang boleh diperbaiki dengan sokongan berterusan penyokong setia kita,” katanya.

Nurul Izzah Anwar bersama calon PH DUN Gambir ketika berkempen di sekitar pekan Bukit Gambir, Tangkak hari ini.

Beliau ditemui MalaysiaGazette selepas mengiringi calon PH DUN Gambir, Mohd Nor Mohd Yusof berkempen di sekitar pekan Bukit Gambir di sini, hari ini.

Turut serta dalam kempen bertemu penduduk setempat itu ialah Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Syed Ibrahim yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam ditanya berkenaan pemerhatian beberapa pihak yang menilai pengundi Cina khususnya dingin dengan PRN Johor ketika ini.

Selain pengundi yang sememangnya bermastautin di Johor yang dilihat enggan keluar mengundi, mereka yang berada di luar negeri termasuk di Singapura juga dikatakan memilih untuk tidak pulang bagi menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Sementara itu, Syed Ibrahim turut mengingatkan pengundi Cina khususnya berkenaan risiko yang perlu ditanggung sekiranya berterusan dengan sikap enggan mengundi pada PRN Johor kali ini.

“Jika mereka tetap dengan pendirian sedemikian, maka ia memberi kelebihan dan kemenangan kepada lawan politik kita, dan adakah berbaloi sekiranya itu yang berlaku?” soalnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast